Bangunan KWSP yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. GAMBAR: ABD RAZAK AID

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan dua inisiatif baharu bagi meringankan pengurusan aliran kewangan majikan sekali gus membolehkan laksana tanggungjawab statutori kepada pekerja.

Menurut KWSP dalam kenyataan, inisiatif pertama iaitu pengecualian caj lewat bayar caruman menyaksikan majikan diberi kelonggaran untuk tempoh membayar caruman bulan semasa.

Katanya, pengecualian itu merujuk caj yang dikenakan ke atas majikan yang gagal membayar caruman wajib KWSP pada atau sebelum 15 hari bulan setiap bulan.

Walaupun tarikh akhir membayar caruman tidak berubah, namun KWSP berkata, inisiatif ini membolehkan majikan membayar caruman sehingga akhir bulan tanpa dikenakan caj lewat bayar.

“Ini akan memberi fleksibiliti kepada majikan untuk mengurus aliran tunai mereka dengan lebih efektif semasa tempoh mencabar ini.

“Pihak majikan tidak perlu membuat sebarang permohonan untuk inisiatif ini yang akan berkuat kuasa secara automatik bermula caruman bulan September hingga Disember 2021,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Baca artikel berkaitan: Hangus duit KWSP arwah bapa: Siswazah rugi RM138,990 ditipu ‘skim pekerjaan online’

Mengulas lanjut, KWSP memaklumkan satu lagi inisiatif yang diperkenalkan adalah Tawaran Insentif Pengurangan Caj Lewat Bayar (e-PaR) yang mana majikan berpeluang mendapatkan pengurangan menyelesaikan baki caj lewat bayar yang tertunggak.

KWSP berkata, majikan ditawarkan pengurangan sehingga 70 peratus untuk caj lewat bayar yang tertunggak bagi caruman yang lewat dibayar untuk mana-mana tempoh sebelum Ogos 2021.

Bagaimanapun, majikan perlu memastikan caruman dan dividen yang tertunggak untuk pekerja bagi tempoh sebelum Ogos 2021 diselesaikan sebelum 31 Disember depan untuk layak mendapatkan pengurangan berkenaan.

Menurut KWSP, pengurangan caj lewat bayar caruman itu bertujuan membantu majikan menguruskan aliran tunai mereka di samping menyediakan peluang dan insentif menyelesaikan sebarang baki pembayaran caruman yang tertunggak.

Permohonan e-PaR akan dibuka mulai hari ini sehingga 31 Disember 2021.

“KWSP menyedari cabaran kewangan yang sedang dihadapi oleh majikan sepanjang tempoh kawalan pergerakan dilaksanakan.

“Diharapkan kedua-dua inisiatif yang ditawarkan ini dapat mengurangkan impak pandemik ke atas operasi perniagaan selain memastikan majikan dapat meneruskan tanggungjawab membayar caruman pekerja untuk simpanan persaraan mereka,” jelas KWSP.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram