Secara umumnya masalah rambut gugur boleh ketegorikan kepada dua, iaitu masalah sementara atau kekal. Masalah sementara keguguran rambut selalunya disebabkan oleh masalah stres kepada badan kita.

Stres yang tinggi boleh menyebabkan rambut gugur. Contoh stres adalah seperti bersalin, diet, penyakit kronik, rawatan kemoterapi, penyakit thyroid, kekurangan zat besi, masalah kulit kepala dan penggunaan ubat-ubatan.

Ia bersifat sementara kerana, apabila faktor-faktor tadi dirawat, rambut akan tumbuh semula dengan sendirinya dan perubahan ini boleh dilihat selepas enam bulan.

Keguguran rambut kekal

Keguguran rambut yang kekal pula adalah bersifat genetik dan berpunca daripada Hormone Dehydrotestosterone (DHT). Apabila seseorang itu mempunyai paras DHT yang Ptinggi, ia boleh memberi kesan terhadap folikel rambut yang terdapat di atas dan di hadapan kulit kepala.

Ia tidak memberi kesan terhadap rambut di bahagian belakang kepala dan yang peliknya ia merangsang penumbuhan janggut dan bulu dada. Jika kita perhatikan lelaki yang mengalami masalah kebotakan, walau macamana botak pun seseorang lelaki itu, rambut di bahagian belakang kepala masih juga tumbuh dengan normal (kecuali jika lelaki ini mencukur rambut mereka). Masalah ini juga di kenali dengan male pattern baldness.

MALE PATTERN BALDNESS

Persoalannya, apakah rawatan yang paling berkesan untuk masalah kebotakan ‘kekal’ ini? Untuk rawatan perubatan, memang ada ubat yang boleh di ambil untuk mengurangkan paras DHT di dalam badan.

Ubat anti DHT yang paling popular adalah Finasteride. Namun begitu, ia agak kurang memuaskan kerana ia perlu diambil berterusan, dan jika rawatan ini diberhentikan, proses keguguran rambut dan botak akan terjadi semula. Ia tidak menyelesaikan masalah tetapi hanya menghentikan masalah keguguran rambut buat sementara waktu.

Untuk mengatasi masalah male pattern baldness ini, rawatan yang paling berkesan dan kos efektif adalah ‘penanaman rambut’ atau hair transplant.

APAKAH ITU HAIR TRANSPLANT ?

Hair transplant adalah proses penanam atau pemindahan rambut yang terdapat di bahagian belakang kepala anda (rambut yang tidak gugur), ke kawasan yang botak atau kurang rambut.

Oleh kerana rambut yang terdapat di bahagian belakang kepala tidak akan menjadi botak, rambut yang dipindahkan ke bahagian hadapan atau atas kepala juga akan bersifat kekal dan tidak akan gugur. Ia akan panjang seperti sedia kala, boleh disikat dan digunting seperti rambut yang normal.

Satu artikel mengenai hair transplant di Journal ‘Achieves of Dermatology’ yang di tulis oleh Doktor Sanusi Umar menyatakan bahawa bulu roma kaki sangat sesuai untuk di tanam di bahagian hairline rambut . Ini akan menampakan rambut yang ditanam itu lebih ‘asli’. Ada dua teknik yang popular untuk pemindahan rambut ini, iaitu stripping (pembedahan) dan Follicular Unit Extraction.

Stripping adalah teknik di mana doktor mengambil satu bahagian kulit kepala di bahagian belakang kepala dan ‘menuai’ rambut ini lalu ditanam dan dipindahkan ke bahagian kepala yang botak. Kelebihan teknik ini adalah, ia boleh menanam bilangan rambut yang banyak dalam satu sesi iaitu 5000 ke 7000 helai rambut.

Namun begitu, ia boleh meninggalkan parut di bahagian belakang kepala.

Teknik lain dan terbaru adalah Follicular Unit Extraction atau FUE. Teknik ini adalah memindah rambut sehelai demi sehelai dari belakang kepala ke kawasan yang botak. Kelebihan teknik ini adalah ia tidak meninggalkan parut dan sangat sesuai jika masalah kebotakan itu kecil atau sedikit. Namun begitu setiap sesi, hanya 1000 ke 1500 helai rambut sahaja yang boleh dipindahkan. Oleh itu jika kawasan yang botak itu luas, beberapa sesi perlu dilakukan untuk mendapat hasil yang memuaskan.

Oleh itu, anda perlu berjumpa dengan doktor dan berbincang tentang rawatan ini dan teknik yang paling sesuai untuk anda. Oh ya, pemindahan rambut ini bukan sahaja untuk lelaki, ia juga sesuai untuk wanita!