KIRA-kira tiga perempat atau 74.7 peratus populasi dewasa di Malaysia sudah lengkap divaksin dua dos dan vaksin dos tunggal setakat semalam.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), jumlah itu merangkumi 17.48 juta individu yang bersamaan 53.5 peratus daripada keseluruhan populasi di negara ini.

Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 227,147 dos vaksin diberikan semalam.

Ini menjadikan keseluruhan dos yang diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 38.99 juta.

Antara negeri yang merekodkan pemberian dos tertinggi semalam ialah Johor dengan 27,890 dos kedua dan 10,663 dos pertama.

Sabah pula mencatatkan 16,745 dos lengkap dan 7,346 dos pertama.

Sementara itu, berdasarkan laman web Kementerian Kesihatan, sebanyak 104 kematian sebenar harian COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam dan 309 kes kematian tertunggak.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 21,124 kes.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram