Shafein Mamat dan Muhamad Zaki Harun menunjukkan rampasan daun ketum yang diangkut dua lelaki menggunakan lori tangki simen pada sidang media di Pasir Mas hari ini./ Gambar media sosial.

SEORANG lelaki sanggup ‘mengeluarkan modal’ membeli sebuah lori tangki simen semata-mata untuk mengangkut daun ketum dari utara ke Kelantan sebelum ke destinasi akhir di negara jiran.

Namun, lelaki itu silap banyak kerana helahnya menggunakan lori yang baru dibeli sebulan lalu tetap berjaya dihidu polis.

Ini setelah polis Kelantan menerima maklumat awal dan kemudian berjaya mengesan lori itu dalam sekatan jalan raya (SJR) dekat Chetok Tok Uban, Pasir Mas hari ini.

Hasilnya lebih 5 tan daun ketum yang diisi dalam 566 bungkusan seberat 10 kilogram dengan nilai kira-kira RM200,000 berjaya dirampas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, lori tangki itu ditahan pada pukul 2.30 pagi tadi selepas pihak polis menerima maklumat berkaitan kegiatan itu kira-kira pukul 1 pagi.

Menurutnya, lori terbabit dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dan ditemani rakannya berusia 46 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Tanah Merah ke Machang.

“Anggota yang menerima maklumat itu kemudiannya berjaya mengesan lori tangki itu berdekatan Jedok, Tanah Merah dan mengekorinya selama sejam sebelum bertindak menghubungi pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk membuat penahanan di SJR Chetok.

“Setibanya lori itu di SJR, pemeriksaan telah dilakukan dan pemandunya telah menunjukkan bungkusan-bungkusan mengandungi daun ketum yang kesemuanya berjumlah 566 bungkusan iaitu setiap satunya seberat 10 kg,” katanya pada sidang media di IPD Pasir Mas.

Turut hadir pada sidang media itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir.

Baca artikel berkaitan: Dua ditahan bawa empat tan daun ketum guna lori kontena

Jelas Shafien, susulan penemuan daun ketum itu, kedua-dua lelaki terbabit ditahan dan dibawa ke IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

Memetik laporan Bernama, beliau berkata, siasatan awal mendapati daun ketum berkenaan dipercayai diperoleh dari utara Semenanjung dan laluan di Pasir Mas hanya sebagai transit sebelum diedarkan ke negara jiran.

Beliau berkata, lori tangki itu baru sebulan dibeli oleh pemandu lori berkenaan semata-mata untuk digunakan bagi kegiatan tersebut.

“Kedua-dua lelaki terbabit yang dikesan positif dadah jenis morfin direman selama lima hari bermula hari ini iaitu 14 hingga 18 September untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tegas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram