GAMBAR: Abd Razak Aid

Oleh DATUK DR.HASAN MAD

KITA tiada Dasar Induk Negara, DIN (National Mother Policy) yang digubal berpandukan Perlembagaan Persekutuan, untuk dijadikan rujukan mandatori dalam penggubalan apa jua dasar, wawasan mahupun pelan tindakan nasional. Tanpanya, pemimpin sewenang-wenang membuat sesuatu dasar semasa mengikut seleranya dalam mencari populariti.

Puak-puak cauvinis mengambil kesempatan daripada kealpaan kerajaan mengenainya sejak dulu lagi.

Dalam keadaan semasa dengan kedudukan politik tidak stabil dan tidak menentu, puak-puak ini sepantas kilat mengambil kesempatan membuat takrifan, mengikut kepentingan puak mereka, sesuatu dasar atau wawasan yang diajukan pemimpin.

Pemimpin pula tak kisah apa juga puak-puak ini nak manipulasi, asalkan populariti atau kedudukannya tidak terjejas. Saya ungkit beberapa insiden sebagai renungan dan meninjau sejauh mana kesannya bila negara tanpa DIN.

Pertama, tanpa DIN, banyak dasar menjadi flip-flop. Bukan itu saja, ia dieksploitasi oleh puak-puak cauvinis ini, dengan menyelitkan agenda mereka yang didukung teguh oleh tiga institusi serangkainya; politik-pendidikan-ekonomi.  Malah keutuhan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri terus menerus mereka cabar.

Kedua, semasa kerajaan BN dulu ketagih undi dari puak-puak ini, pemimpin BN sendiri menghalalkan sijil UEC, malah mengiktiraf kewujudan sekolah-sekolah vernakular yang ternyata menyalahi Perlembagaan Persekutuan. Akhirnya puak-puak ini semakin berpengaruh, malah berjaya mempengaruhi pentadbiran Kementerian Pendidikan. Hakikatnya, cacing dah naik ke mata.

Ketiga, di era kerajaan PH, dilancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030). Belum pun sempat kerajaan memberikan takrifan mengenainya, puak-puak ini sudah buat takrifan mereka untuk ditelan oleh semua rakyat Malaysia. Mereka
sorok bab kekayaan negara yang sebelum merdeka mereka kaut bersama penjajah, yang tidak pun dikongsi secara saksama. Kerajaan nak gubal Akta Kesaksamaan Peluang pun takut kepada mereka ini. Realitinya, cacing dah penuh kat mata.

Kempat, bila kerajaan baharu, kerajaan Keluarga Malaysia tetapkan syarat kemasukan ke MRSM hanya untuk mereka dari aliran pendidikan nasional, mereka bantah, kononnya itu tidak konsisten dengan hala tuju kerajaan baharu ini.

Sebenarnya mereka perjuangkan hak pelajar sistem pendidikan vernakularnya. Selang sehari, Menteri Pembangunan Luar Bandar terus umum batalkan syarat oleh MRSM itu demi kepentingan kerajaan dan akur dengan desakan puak-puak cauvinis ini yang jelas sekali kini mengkuasai kerajaan.

Saya ada terbaca rencana disiarkan oleh sebuah media sosial prorakyat majoriti yang membisu, menyatakan kebimbingan penulis mengenai wawasan kabur yang dilaung-laungkan pemimpin. Saya simpati kepada penulis berkenaan. Hakikatnya, tiada pemimpin dalam kalangan kerajaan  yang peduli. Dan ia bukan sesuatu yang baharu.
Terlalu banyak nak diungkit.

Hakikatnya, WKB2030 dan entah apa lagi dasar setiap pemimpin yang silih ganti umumkan, ia hanyalah demi menjaga kepentingan dan populisme masing-masing, bukan demi kemakmuran negara atau kesejahteraan rakyat.  

Rakyat dalam kalangan the silent majority memilih untuk berdiam diri, hatta, peluang untuk bersekutu dengan pemimpin populis itu dirembat oleh puak-puak tersebut yang sudah siap siaga dengan cyber-trooper dan media sosial masing-masing untuk memaksa siapa jua memegang tampuk kerajaan, untuk akur dengannya.

Terimalah hakikat bahawasanya cacing sudah memenuhi mata.

  • Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.