JIKA disebut Bukit Kutu yang terletak di Kuala Kubu Baru dalam daerah Hulu Selangor, ia kini popular sebagai salah satu lokasi hiking oleh golongan pendaki.

Mereka yang pernah mendaki di bukit itu pasti melalui sebuah kawasan yang boleh dilihat sisa-sisa monumen lama zaman peninggalan British dahulu.

Bukit Kutu yang terletak pada ketinggian 1090 meter dari aras laut ini dahulu dikenali sebagai Trecher’s Hill. Mungkin ramai yang tidak tahu, puncak bukit ini dulu pernah menjadi kawasan pemantauan British.

Puncak Bukit Kutu yang kini popular di kalangan pendaki.

Sekitar tahun 1928, pentadbiran Inggeris di Malaya memutuskan untuk membina sebuah bandar rahsia dan tersembunyi di sebuah bukit di Hulu Selangor. Lokasi yang dipilih adalah Bukit Kutu.

Ia bukan saja dijadikan kawasan pemantauan, malah ada yang mengatakan kawasan penempatan itu dijadikan seperti lodging percutian dan penginapan mewah para pegawai Inggeris yang berkhidmat di Malaya ketika itu.

Menurut cerita lisan penduduk tempatan yang pernah kami temuramah dahulu, di Bukit Kutu pada era penjajahan British dulu, terdapat sebuah komuniti rahsia pelombong emas. Mereka ini tinggal di situ dengan kawalan rapi daripada tentera Inggeris.

Amat jarang masyarakat Empang Pecah dan Kuala Kubu melihat komuniti pelombong itu turun ke bawah. Segala urusan bekalan makanan semuanya diuruskan oleh taukeh-taukeh tandu yang berulang alik dari bawah ke atas.

Diceritakan juga, masyarakat awam sekitar Kuala Kubu tidak dibenarkan naik ke bukit itu. Ini kerana pihak Inggeris bimbang penempatan rahsia itu diketahui umum. Lebih-lebih lagi masyarakat Cina yang terkenal sebagai pelombong yang cekap.

Dikatakan komuniti rahsia itu bukan bekerja sebagai pelombong emas, sebaliknya mereka adalah pekerja yang memunggah emas yang diseludup daripada lombong-lombong emas milik sebuah syarikat perlombongan dari Australia yang melombong di Raub. Tindakan sebegini adalah untuk mengaburi mata pembesar Pahang dan Selangor bagi mengelakkan cukai.

Bagaimanapun sewaktu kedatangan Jepun, pihak Inggeris membunuh semua penduduk di situ kerana mereka bersubahat menceritakan kedudukan penempatan itu kepada komunis.

Begitu cerita lisan penduduk setempat yang pernah mendengar kisah komuniti rahsia di bukit tersebut daripada waris orang-orang tua terdahulu. Ada antara mereka yang mempunyai waris yang terselamat daripada hukuman bunuh yang dilaksanakan Inggeris itu.

Tinggalan Dua Banglo Lama

Mengikut rekod pada tahun 1975, satu rombongan pengkaji sejarah daripada Persatuan Sejarah Malaysia kawasan Hulu Selangor telah berusaha mengesan peninggalan bangunan kerajaan zaman Inggeris ini.

Hasil penemuan mereka itu telah dirakamkan dalam sebuah buku yang bertajuk ‘Sejarah Bukit Kutu’.

Menurut catatan yang dibuat oleh pengkaji tersebut, di lembah berbatu yang berlapis-lapis itu terdapat dua buah bangunan banglo kerajaan yang telah dibina di puncak bukit itu. Banglo ini dipercayai didirikan khusus bagi kegunaan mesyuarat pegawai-pegawai tinggi Inggeris ketika itu.

Salah satu persoalan yang timbul, bagaimana orang Inggeris memilih untuk mendirikan banglo di atas bukit ini. Dapat dilihat betapa berkuasanya Inggeris ketika itu untuk membina jalan dan banglo sehingga ke puncak tanpa peralatan dan mesin seperti zaman sekarang.

Tidak dapat dibayangkan betapa sukarnya pekerja buruh binaan ketika itu membuat jalan dan menyiapkan binaan di atas bukit ini, dan agaknya berapa ramai pula di antara mereka yang terkorban bagi menyiapkannya.

Diceritakan pegawai Inggeris yang naik ke bukit itu akan menggunakan kuda. Sementara itu, isteri-isteri mereka pula akan menaiki tandu yang diusung mengikut bayaran sewa tertentu.

Sebelum Bukit Kutu popular dijadikan destinasi penggemar pendaki, kami dahulu pernah naik ke atas bukit ini untuk menjejaki peninggalan banglo British tersebut.

Tinggalan struktur banglo yang masih kelihatan.

Kawasan banglo ini terlihat sudah lama terbiar. Struktur banglo itu, binaannya terdiri daripada batu-batu granit yang mungkin diambil dari bukit itu juga.

Lokasi kedudukan banglo pertama sangat strategik untuk menahan serangan musuh dan dikatakan menjadi tempat pegawai-pegawai tinggi bermesyuarat. Pada tingkap bawahnya lengkap dengan sistem pertahanan seperti kubu untuk meninjau setiap pergerakan sekiranya berlaku serangan hendap.

Namun, struktur banglo itu sudah banyak mengalami kemusnahan yang teruk. Bahagian bawahnya juga tidak dapat dimasuki kerana telah ditutupi denhan tanah. Yang boleh dilihat hanya sisa struktur banglo tersebut saja.

Di bahagian hadapan banglo itu, terdapat satu jejantas yang menghubungkan banglo lama itu ke sebuah banglo lain.

Kawasan banglo yang sudah terbiar sejak serangan Jepun dahulu.

Banglo kedua pula tidak begitu jauh dari kawasan banglo pertama. Banglo kedua ini, hampir 90 peratus struktur binaannya telah musnah. Hanya satu ‘chimney’ iaitu tempat memanaskan ruang tamu yang masih teguh berdiri.

Cebisan binaan lain seperti tangga batu, atap zink, tiang batu dan saluran air bertaburan di sekitarnya.

Chimney yang masih teguh berdiri.

Di puncak bukit ini terdapat satu punca air dari sebuah telaga, dan ia masih ada air yang bersih walaupun telaga itu telah dibina sejak tahun 1918 lagi.

Kami cuba mencari kesan peninggalan tentang bilik mesyuarat rahsia pegawai tertinggi Inggeris di situ, tetapi gagal menemuinya. Berkemungkinan ia tersorok di bahagian bawah tanah dan telah tertimbus.

Menurut Rahim, penduduk tempatan yang menjadi pemandu arah kami waktu itu, bilik rahsia tersebut telah terkubur bersama-sama runtuhan banglo ini selepas ia di bom tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu.

Bukit Kutu hari ini merupakan lokasi popular untuk golongan pendaki.

____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam