Tertuduh, Ng Zhen Kai ketika siasatan pihak polis./ Gambar FB JSPT KL

MINGGU lalu tular rakaman video bagaimana sebuah Perodua Myvi dalam keadaan siang hari dipandu melawan arus di sebuah lebuh raya dekat ibu negara.

Rakaman berdurasi 19 saat itu dirakam pada 4 September lalu di laluan menghala ke Putrajaya di Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Tidak lama kemudian, pemandu berkenaan telah dikesan polis dan hari ini lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Tertuduh yang bekerja sebagai ejen insurans mengaku bersalah memandu kenderaan tersebut di atas jalan raya secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain dalam kejadian 11.05 pagi, 4 September lalu.

Berikutan, Ng Zhen Kai, 24, dipenjara tiga hari dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret.

Majistret Amanina Mohamad Anuar memerintahkan Zhen Kai menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini selain lesen memandu tertuduh digantung selama lima tahun dan jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara enam bulan. 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen tidak kurang lima tahun dan lesen percubaan dibatalkan serta kesalahan akan diendors pada lesen memandu. 

Baca artikel: Dua maut dilanggar pemandu positif dadah lawan arus

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdullah Khazali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Namun, Zhen Kai yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung keluarga.

Pada 4 September lalu, media melaporkan polis sedang mengesan pemandu kereta Perodua Myvi berwarna kelabu yang dirakam memandu secara melawan arus di laluan menghala ke Putrajaya di Lebuhraya MEX dalam satu video berdurasi 19 saat yang tular di laman sosial.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram