Anggota kumpulan K-Clique, MK dan Noki kini bergabung menerusi single baharu berjudul Payung Pelangi.

Idea penghasilan lagu ciptaan Noki dan MK sendiri ini tercetus setelah mereka berdua mendapat tawaran untuk berlakon bersama dan dalam kesempatan itu mereka merancang untuk melancarkan satu lagu nyanyian mereka berdua.

Menurut Noki, lagu Payung Pelangi mengajak pendengar agar berusaha keras dan jangan berputus asa dalam mencapai sesuatu impian.

“Lagu ini menceritakan tentang usaha keras. Sebelum kita mendapat sesuatu kejayaan kita perlu berusaha keras dan jangan berputus asa.

“Pelangi tu hanya perumpamaan dimana pelangi tak akan muncul kalau tidak hujan. Jadinya, kesusahan di permulaan pasti ada, tapi dengan usaha keras dan izin Nya kejayaan pasti akan datang.

“Kami harap lagu dan lirik ini mampu memberikan semangat kepada semua pendengar. Terima kasih dan terus menyokong kami,” katanya.

Single Payung Pelangi boleh distrim di semua platform digital manakala lirik video rasmi boleh ditonton di laman YouTube K Clique.