Penyanyi popular era 1990-an, Hasnol kini muncul dengan album terbaharu berjudul Nadi Cinta Kita yang memuatkan tujuh buah lagu terbaharu iaitu Nadi Cinta Kita, The Ryhtm Of Love, Hilang,  Laguku Untukmu Remix 2020 manakala tiga lagu lagi dalam versi instrumental.

Hasnol atau nama sebenar Hasnol Hassan Ariff pernah melahirkan dua album sebelum ini iaitu Sudi Katakan Sudi pada tahun 1992 dan Caraku (1994).

Menurut Hasnol, album Nadi Cinta Kita adalah dedikasi istimewa buat Allahyarham Adnan Abu Hassan dan Tony Spider yang dianggap seperti ahli keluarganya sendiri.

‘’Pada mulanya, Album Nadi Cinta Kita ini adalah satu dedikasi saya buat isteri sempena ulangtahun perkahwinan kami yang ke 10 pada tahun 2020.

“Namun banyak perkara yang membuatkan saya bersemangat untuk dedikasikan kepada Allahyarham Adnan Abu Hassan dan Tony Spider iaitu sahabat-sahabat saya yang saya pernah bekerjasama dalam pembikinan album pertama dan yang terbaharu sekarang ini.

“Justeru dengan pemergian sahabat karib bagaikan seorang ahli keluarga saya juga, album ini terus menjadi tribute untuk mereka,” kata Hasnol.

Sebelum ini Hasnol pernah popular dengan lagu berjudul Laguku Untukmu ciptaan Allahyarham Adnan Abu Hassan dan liriknya ditulis oleh Hasnol sendiri.

Sebagai tanda penghargaan beliau kepada arwa , maka lagu tersebut dirakamkan semula secara remix dan instrumental serta menjadikannya salah satu lagu dalam album terbarunya ini.

 Istimewanya juga dalam album ini ialah lagu Hilang yang telah dicipta oleh Allahyarham Tony Iskandar Alberto atau lebih dikenali dengan nama pentas beliau, Tony Spider.

“Dalam lagu Hilang ini, saya telah menulis bait-bait lagu yang berkisar tentang seorang insan yang merinduikan cinta pencipta dan secara tidak sengaja… yang sebenarnya, saya menulis tentang kisah arwah,’’ kata Hasnol.

‘’Lagu ini telah diriliskan pada bulan Oktober, 2019. Bagi mereka yang ingin mendengar lagu ciptaan Allahyarham Tony Spider untuk saya ini, bolehlah mendengar menerusi lirik video di saluran Youtube Luncai Emas,” tambah Hasnol.