Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

ANALISIS

MEMORANDUM Persefahaman antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) dilakukan dengan niat murni iaitu mengelakkan negara terus berada dalam ketidakstabilan politik dalam usaha memulihkan negara daripada pandemik Covid-19.

Dan paling penting MoU ini tidak ada kaitan dengan soal politik, isu politik apatah lagi percaturan politik sehingga ada pemimpin UMNO tertentu mula mengaitkan dengan slogan ‘ No Anwar, No DAP’ sebagai sudah tidak lagi relevan kepada UMNO.

Nampaknya ada pemimpin tertentu yang mula gelisah dengan perkembangan ini, mungkin juga bimbang persefahaman yang dicapai akan membantutkan sebarang ‘langkah politik dalaman’ UMNO termasuk memberikan tekanan atau permintaah bertaraf ‘ugutan’ kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.

Bagi penulis, pemimpin yang mengaitkan MoU itu dengan menyifatkan slogan ‘No Anwar, No DAP’ tidak lagi relevan sebagai kelompok ‘jahil’ dalam politik dan tidak memahami apa yang berlaku. Mungkin akibat sikap ‘jahil’ inilah yang menjadi punca kepada kekalahan UMNO dalam PRU-14 lalu.

Apa yang dilakukan oleh Ismail Sabri tidak ada salahnya malah tidak ada bezanya dengan ‘kempen’ beberapa pemimpin UMNO sebelum ini yang begitu beria-ia ‘siang malam’ mahukan kerajaan perpaduan atau ‘unity government’ ditubuhkan.

Ketika itu mereka berhujah dengan tegas bahawa ‘unity government’ adalah satu-satu cara bagi menyelesaikan kemelut politik dan ketidakstabilan negara serta kononnya cara paling berkesan bagi menangani pandemik Covid-19.

Jangan lupa apa yang berlaku di Perak dan Johor sudah mewujudkan persefahaman dan kerjasama bipartisan demi kesejahteraan rakyat bukanlah sesuatu yang jangggal. Justeru kenapa masih ada dalam kalangan pemimpin UMNO mahu mencetuskan polemik berhubung MoU tersebut?

Yang peliknya, kelompok atau individu yang berbuat demikian ‘muka yang sama’ sahaja, dulu mereka tak habis-habis mengganggu pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semasa Muhyiddin mengemukakan cadangan yang hampir sama, macam-macam mereka tuduh malah ada yang ‘siap’ buat laporan polis menuduh Ahli Parlimen itu melakukan rasuah secara terbuka tetapi sekarang tak kan Ismail Sabripun mahu diganggu juga.

Sedangkan misi dan niat kedua-dua pemimpin itu adalah sama iaitu mewujudkan kedamaian politik kerana rakyat sudah muak dengan politik yang tidak berkesudahan.

Tidak apalah mungkin disebabkan Muhyiddin daripada Bersatu maka mereka tidak mahu atas alasan UMNO mempunyai kerusi paling banyak dan sepatutnya mengetuai kerajaan, tetapi sekarang Perdana Menteri bukan sahaja daripada UMNO malah terdapat 20 ahli Parlimen yang menjadi menteri dan timbalan menteri.

Jadi tidak ada alasan lagi untuk mana-mana pemimpin dalam UMNO khususnya yang sudah kalah dalam PRU-14 lalu hendak terus berpolitik apatah lagi mahu menjadi ‘duri dalam daging’ kepada pentadbiran Ismail Sabri.

Bukankah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi pun sudah membuat kenyataan menyerahkan kepada kebijaksanaan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri untuk menguruskan negara. Oleh itu apa juga tindakan atau langkah yang dilakukan oleh Perdana Menteri harus dihormati.

Walaupun Ismail Sabri adalah Naib Presiden UMNO tetapi ia tidak bermakna apa sahaja yang dikehendaki oleh parti itu perlu dipatuhi oleh beliau. Ini bukan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Kerajaan yang UMNO menang dua pertiga seperti sebelum tahun 2008. Ini kerajaan  yang menggabungkan pelbagai parti.

Justeru lebih baik serahkan sahaja kepada kebijaksanaan Ismail Sabri menguruskan negara. Tidak usahlah ganggu beliau, mana-mana pemimpin yang kalah dalam PRU lalu lebih baik tumpu kepada usaha untuk merampas kembali kerusi yang terlepas.

Kepada  kelompok dalam ‘kluster mahkamah’ duduklah diam-diam tidak payahlah berusaha mahu memegang jawatan itu dan ini sehingga dilihat memberi tekanan kepada Ismail Sabri.

Kesimpulannya, hentikan sebarang gangguan politik kepada Ismail Sabri. Sebagai Perdana Menteri, beliau pasti tahu yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Tidak perlu mahu mengajar beliau bagaimana mahu bekerja, apatah lagi yang bercakap tu di kawasan sendiripun ditolak oleh rakyat.