SIDANG Dewan Rakyat petang ini menerima kejutan selepas Datuk Seri Azalina Othman Said kembali menggalas tanggungjawab mempengerusikan sesi petang sidang.
Kemunculan Azalina di tempat duduk Yang Dipertua Dewan Rakyat semasa Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif membahaskan usul junjung kasih kepada Titah Diraja menarik perhatian Ahli Parlimen.
Beberapa Ahli Parlimen turut memberi reaksi termasuk memberikan ucapan ‘selamat kembali bertugas’ dan ‘tahniah atas lantikan semula’.
Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) juga bangun meminta Azalina memberi penjelasan berhubung perkara berkenaan.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) turut bertanya prosedur Azalina boleh mempengerusikan Sidang Parlimen sedangkan beliau berada di kerusi Ahli Parlimen sewaktu sesi pagi.
“Saya tiada masalah Yang Berhormat Pengerang mempengerusikan mesyuarat, cuma prosedur adakah ini betul? Sedangkan kita sedang bermesyuarat membincangkan Titah Diraja.
“Tiada pemakluman daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat tentang penggantian yang begitu mudah. Soalnya adakah peraturan mesyuarat diguna pakai dengan sebetulnya,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Azalina letak jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat
Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) selepas itu juga memberi reaksi serupa dengan mengatakan perlunya ada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu memandangkan Sidang Parlimen berlarutan sehingga Disember.
“Saya rasa kecewa kerana Yang Berhormat Pengerang meletakkan jawatan sebab saya merasakan anda sangat sesuai dan layak.
“Kekosongan itu patut diisi secepat mungkin. Saya tak tahu kenapa cuma saya baca berita ada isu dalaman antara parti. Jangan sebabkan Parlimen tiada Timbalan Yang Dipertua,” jelas beliau.
Azalina sewaktu memberi penjelasan memaklumkan beliau hanya diminta untuk mempengerusikan Sidang Parlimen buat sementara waktu sahaja.
“Saya telah diminta oleh Yang Dipertua di bawah Peraturan Mesyuarat 7(3), mempengerusikan mesyuarat sementara waktu.
“Ini macam ‘mutaah’, sekejap sahaja. Mungkin hari Isnin atau Selasa, orang lain,” jawab Azalina secara berseloroh.
Pagi tadi, Azalina yang meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat memberi gambaran seolah-olah akan kembali di kerusi tersebut, petang ini.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata demikian ketika membahaskan usul Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram