WAHAI kaum Adam, sanggupkah anda mendukung pasangan anda sebagai tanda cinta anda kepadanya? Agaknya boleh tak anda buat cabaran seperti di Finland ini, demi membuktikan kasih sayang anda pada pasangan.

Selalu kita dengar acara larian hanya melibatkan individu atau berkumpulan sahaja. Tetapi di Sonkarjavi, Finland, terdapat satu acara larian merentas padang dan trek yang becak, khusus untuk lelaki yang telah berkahwin.

Apa yang menariknya, kesemua lelaki yang mengambil bahagian dalam acara ni wajib berlari sambil mendukung isteri masing-masing.

Faetival kendong isteri di Finland.

Festival yang dikenali sebagai Wife Carrying Festival ini merupakan acara tahunan di Finland sejak tahun 992 lagi. Pasangan suami isteri yang berminat untuk menyertai pertandingan ini haruslah berusia 17 tahun ke atas. Pertandingan ini biasanya berlaku pada pertengahan tahun sekitar bulan Julai.

Kebanyakan isteri mahu suaminya buktikan mampu berbuat apa saja untuk cinta mereka. Sebab itu, festival kendong isteri ini mendapat sambutan hangat setiap tahun.

Selalunya hampir 100 pasangan mengambil bahagian dalam acara ini. Para lelaki yang berani mengambil bahagian dalam acara ini dianggap sebagai seorang suami yang terbaik.

Dukunglah apa cara sekalipun asal bini tu tak jatuh ya.

Cuma, ada sedikit kelonggaran diberi. Contohnya jika isteri terlalu berat badannya dan suami tidak mampu mendukungnya, para suami dibenarkan mengendong isteri jiran atau isteri yang mempunyai pertalian keluarga dengannya. Sebagai contoh, isteri kepada adik lelaki atau abangnya. Tapi pastikan dapat dulu kebenaran suami mereka ya.

Lagi satu, berat minimum bagi perempuan yang menyertai acara ini haruslah melebihi 108 paun atau 50 kilogram ke atas. Jika didapati si isteri mempunyai berat yang kurang daripada syarat yang ditetapkan, pasangan tersebut akan dibekalkan sebuah beg bagi menampung berat beban yang berkurangan.

Setiap pasangan yang telah berdaftar hanya akan dibekalkan dengan satu tali pinggang untuk dipakai oleh si lelaki. Kemudian, isteri akan dikendong oleh suami tanpa mengira apa cara yang digunakan.

Lalui setiap halangan dengan memastikan isteri yang dikendong tidak jatuh.

Terdapat pelbagai kaedah yang dapat dilihat ketika acara ini bermula. Ada isteri yang duduk di atas bahu, ada yang baring di atas bahu dan macam-macam aksi lagi.

Peserta harus melalui trek rasmi yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Terdapat dua halangan yang disediakan iaitu halangan air dan darat.

Para peserta harus melalui halangan trek darat terlebih dahulu. Bagi halangan darat ini, para peserta akan melalui trek yang meliputi bahagian rumput, pasir, jalan berbatu dan juga jalan asfalt. Selepas jalan darat, mereka akan melalui kawasan halangan berair pula.

Ketika melalui halangan-halangan ini, para isteri tidak boleh jatuh dari gendongan suami. Jika terjatuh, pasangan tersebut akan dikenakan penalti sebanyak 15 saat. Selepas habis denda tersebut, barulah pasangan itu boleh meneruskan semula perlumbaan.

Kalau jatuh, kena penalti tau.

Boleh dikatakan hampir kebanyakan pasangan akan terlepas isteri mereka dari gendongan dan disebabkan itu, para isteri dibekalkan topi keselamatan. Kemudian, pemenang dipilih berdasarkan siapa yang tiba di garisan penamat terlebih dahulu.

Ramai guna kaedah ni. Agaknya cara begini bini tak senang jatuh kot.

Selain acara merentas desa, pertandingan mengendong isteri di Finland ini turut mempertandingkan acara pecut 100 meter individu dan acara lari berganti-ganti berkumpulan. Peraturannya masih sama iaitu perlu mengendong pasangan masing-masing dan melalui trek yang mempunyai pelbagai halangan.

Bagi acara lari berganti-ganti berkumpulan, ia memerlukan tiga orang lelaki dan seorang isteri dalam setiap satu kumpulan. Pelari pertama akan membawa si isteri sehingga tiba ke garisan penamat dan menyerahkan isteri tersebut kepada pelari kedua dan ia berterusan sehinggalah pelari yang ketiga. Pemenang juga ditentukan berdasarkan siapa yang tiba dahulu.

Acara ini bukan hanya disertai oleh penduduk tempatan, malah ramai pasangan dari negara lain seperti Australia, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu yang turut menyertainya. Malah acara ini turut menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

___________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam