ibu buta
Gambar kenangan Nursyamimi bersama Umminya.

SEMINGGU yang lalu, seorang wanita tampil berkongsi kisah hidupnya dibesarkan oleh ibu cacat penglihatan yang terpaksa melalui pelbagai dugaan sehinggalah insan tersayang pergi buat selama-lamanya pada Oktober 2020.

Perkongsian itu telah mendapat perhatian warganet, yang rata-rata menyifatkan apa dikongsi wanita bernama Nursyamimi, 25 itu sebagai sesuatu yang luar biasa serta memberi inspirasi.

Menceritakan kembali kepada UtusanTV kenapa dia memberanikan diri untuk membuka kisah lama itu, Nursyamimi mengatakan ia lebih kepada mengenangkan nasib komuniti golongan cacat penglihatan terutama ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hari demi hari saya melihat golongan ini yang semakin dilupakan. Saya terbayang jika Ummi masih ada pasti dia juga terhalang untuk bekerja semasa PKP,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Walaupun menerima banyak kecaman daripada pihak tertentu yang mengatakan bahawa dirinya lupa daratan setelah memperoleh kehidupan yang lebih baik, ia tidak mematahkan semangatnya.

” Harapan daripada video tersebut, saya hanya mahu memberi impak yang kuat dalam fikiran dan jiwa mereka untuk tidak menilai kehidupan seseorang berdasarkan kehidupan yang dikongsikan di media sosial semata-mata,” katanya.

Jauh di sudut hati, Nursyamimi mengatakan bukan mudah bagi dirinya untuk berkongsi kisah hidup keluarganya terutamanya di media sosial.

Dia dan dua adiknya dibesarkan oleh ibunya dengan hasil jualan tisu di sekitar ibu kota setiap malam untuk menyara kehidupan sekitar tahun 2000.

Malah dirinya pernah digelar pengemis oleh sebuah akhbar tempatan ketika menjual tisu.

Baca artikel berkaitan: Gelagat comel nenek lengkap 2 dos vaksin dapat upah ‘Milo’ Starbucks cuit hati netizen

Klik untuk saksikan video: https://vt.tiktok.com/ZSJwv623C/

Ummi sakit

Menceritakan kembali, Umminya, Shahira sudah lama mengetahui diri hidup bersama ketumbuhan pada ovari sejak tahun 1999.

Sedikit lega ketika itu, doktor memaklumkan ketumbuhan Ummi tidak akan merebak dan aktif.

Namun, semuanya berubah apabila pada tahun 2016, pemeriksaan lanjut dengan doktor mengesahkan ketumbuhan yang dialami Umni membesar sekitar 10 sentimeter.

“Doktor ada nasihatkan untuk segera buat pembedahan tapi Ummi takut dan mengamalkan perubatan tradisional,” ujarnya.

Sejak dari itu sakitnya semakin melarat dan dihantar ke hospital pada bulan Ogos 2016.

“Doktor beritahu Ummi akan bertahan selama dua bulan sahaja. Saya terkejut dan tak menjangka Ummi disahkan kanser Tahap 4,” tambahnya.

Katanya, sepanjang tempoh dua bulan yang tersisa, Ummi ada juga pulang ke rumah dan pada waktu itu adik sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat diploma dan dirinya terpaksa berhenti belajar.

Akhirnya pada 1 Oktober 2020, Ummi pergi buat selama-lamanya pada usia 44 tahun akibat kanser ovari.

Nursyamimi bersama keluarga tersayang dengan kehidupan yang lebih baik.

Langkah ke hadapan

Ujar Nursyamimi, kehidupannya berubah dengan tekad melangkah ke hadapan meninggalkan segalanya yang pahit sebelum ini.

“Saya sentiasa percaya, aturan Tuhan itu terbaik dengan selalu bersangka baik pada Dia,” katanya.

“Jika saya terasa berat sekalipun, saya akan bercakap dan bersangka baik pada Dia. Dari situ juga saya selalu bersangka baik dengan sekeliling saya”.

Kini semuanya lebih baik buat dirinya dan adik-adik.

Dalam pada itu tinjauan UtusanTV dalam ruangan komen video Nursyamimi, ramai yang kagum dengan kehebatan keluarga hidup dalam serba kekurangan.

“Masyaallah hebatnya family awk,” kata @Budak pemalas Tap ink cantik.

Malah ada juga yang tak mampu menahan air daripada tumpah kerana terlalu sedih melihat kehidupan Nursyamimi sekeluarga.

“Air mata aku tak stop weh ngalir, stay strong cantik! Syurgaa buat umi awak,” tulis @naeruli.

Sehingga ke saat ini video itu telah ditonton lebih 2.4 juta kali dan menerima lebih 354,000 tanda suka.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram