IMAM Besar Masjid Putra, Putrajaya, Ikmal Zaidi Hashim membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam susulan video penjelasannya melibatkan isu kuota solat Jumaat di masjid tersebut.

Ikmal Zaidi malah mengakui reaksi beliau menerusi video penjelasan itu dilihat agak keterlaluan.

Beliau turut berjanji akan memperbaiki keadaan terutama mengenai pelaksaan prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Putra.

“Saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam yang mengetahui kes ini secara jauh dan dekat atas reaksi saya yang dilihat agak keterlaluan berhubung video yang tular di media massa dan sosial, Jumaat lalu.

IKMAL Zaidi Hashim dalam video permohonan maafnya secara terbuka yang dimuat naik ke akaun Facebook Masjid Putra, malam tadi.

“Dengan rendah hati, saya ingin memohon maaf dengan segala ketelanjuran tersebut dan berazam serta berjanji akan memperbaiki keadaan terutama mengenai pelaksanaan SOP di Masjid Putra,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman video yang dimuat naik ke akaun Facebook Masjid Putra malam tadi.

Baca artikel berkaitan: “Sampai-sampai pintu pagar dah tutup” – Ezad Lazim sedih tak dapat solat Jumaat di masjid

Sabtu lalu, Ikmal Zaidi dalam satu rakaman video menyatakan Masjid Putra sememangnya memperuntukkan kuota khusus bagi golongan kenamaan (VIP) menunaikan solat Jumaat.

Dalam video tersebut, beliau turut menjelaskan situasi sebenar dan mengatakan tidak reda serta meminta penyebar video tular sebelum itu memohon maaf.

Walau bagaimanapun, penjelasan itu mengundang reaksi negatif netizen yang melihat kata-kata Imam Besar Masjid Putra itu tidak sesuai dan angkuh.

Masjid Putra dalam kenyataan sebelum itu memohon maaf atas kekhilafan dalam isu video tular kononnya mereka memberikan layanan berbeza kepada jemaah yang hadir untuk solat Jumaat.

Katanya, pihak masjid memperuntukkan sejumlah kuota kepada jemaah tetap yang sudah mendaftar lebih awal serta menetapkan masa untuk hadir ke masjid bagi memudahkan pihak pengurusan memastikan jumlah kuota ditetapkan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram