pcos

Polycystic ovarian syndrome (Pcos) adalah sejenis penyakit yang dialami ramai wanita Malaysia. Dianggarkan lima hingga 10 peratus daripada keseluruhan wanita mengalami masalah ini dan ia merupakan penyebab utama masalah infertiliti untuk wanita. tanda-tanda awal penghidap Pcos ialah masalah haid yang tidak teratur.

Di antara tanda-tanda dan simptom-simptom PCOS yang lain adalah masalah peningkatan berat badan (obesiti), mempunyai banyak bulu roma (Hirsutism), infertiliti, kulit yang berminyak, masalah kelemumur, kencing manis, darah tinggi, mempunyai banyak cyst di ovari, masalah metabolik dan kulit gelap.

Wanita yang mempunyai PCOS tidak semestinya mempunyai kesemua simptom-simptom yang dinyatakan, mungkin hanya sebahagian dari apa yang disenaraikan akan dialami penghidap PCOS. Namun begitu, untuk menyatakan seseorang wanita itu mempunyai masalah PCOS, pemeriksaan doktor mestilah mempunyai ciri-ciri seperti ovari yang tidak menghasilkan telur, mempunyai ciri-ciri fizikal seperti lelaki, pemeriksaan darah menunjukkan paras hormon lelaki yang tinggi dan pemeriksaan ultra sound menunjukkan wujudnya banyak cyst di ovari.

Punca PCOS adalah ketidakseimbangan hormonandrogen(hormon lelaki) , estrogen (hormon wanita) dan badan yang tidak sensitif kepada hormon insulin (Insulin resistant). Ini menyebabkan secara fizikalnya, wanita ini kadang-kadang mempunyai banyak bulu roma yang kasar dan tebal di muka dan badan (akibat paras hormon lelaki yang tinggi) serta mempunyai masalah berat badan (insulin resistant).

Bulu roma di muka

Hirsutism (lebih bulu roma badan/muka) untuk wanita memanglah agak memalukan. Ia boleh menyebabkan rasa rendah diri dan kurang berkeyakinan dengan keterampilan peribadi. Ada yang cuba menangani masalah ini dengan mencukur serta melakukan waxing, namun masalah ini hanya hilang untuk sementara.

Rawatan yang terbaik untuk masalah bulu roma adalah melakukan rawatan laser untuk mematikan bulu roma.

BAGAIMANAKAH RAWATAN LASER BOLEH BERFUNGSI MEMBUNUH BULU ROMA?

Bulu roma mempunyai tiga fasa dalam pertumbuhannya. Fasa Anagen, Catagen dan Telogen (lihat gambar). Anagen adalah fasa dewasa, di mana bulu roma mula tumbuh dan menjadi dewasa. Catagen adalah fasa matang. Di fasa ini bulu roma yang difasa Anagen akan tertanggal dari akarnya dan mula mengalami proses penuaan. Telogen adalah fasa tua, di mana bulu roma menjadi kecil dan tercabut dari badan.

Jika kita lihat kepada gambar rajah, hanya fasa Anagen sahaja bulu roma bersambung dengan ‘akar’ rambut, manakala fasa Catagen dan Telogen, bulu roma telah tertanggal dari ‘akar’ rambut.

Laser adalah sejenis cahaya yang mempunyai gelombang yang tertentu. Seperti yang kita tahu, warna hitam menyerap cahaya manakala warna cerah melantun cahaya. Dalam proses membunuh akar rambut, oleh sebab bulu roma berwarna hitam, ia akan menyerap cahaya laser. Cahaya laser yang diserap oleh bulu roma ini akan membakar bulu roma tersebut.

Oleh kerana dalam fasa Anagen sahaja bulu roma bersambung dengan ‘akar’, maka bulu roma yang berada di fasa Anagen sahaja yang akan terbakar bersama-sama dengan akarnya. Untuk bulu roma yang berada di fasa Catagen dan Telogen, hanya bulu roma terbakar tetapi ‘akarnya’ terselamat.

Akar yang terselamat ini akan menghasilkan bulu roma yang baru di kitaran seterusnya. Sebab itulah, proses membuang bulu menggunakan laser memerlukan lebih kurang 10 ke 12 sesi untuk mendapatkan hasil yang sangat memuaskan.

Rawatan membuang bulu roma menggunakan kaedah laser hanya berkesan untuk bulu roma yang berwarna hitam sahaja, untuk bulu roma yang berwarna putih (uban) dan perang , ia tidak berkesan kerana ia tidak menyerap cahaya laser dengan baik.