PERTENGAHAN tahun 1500, Ratu Elizabeth I menyeru rakyatnya keluar belayar menyeberangi Lautan Atlantik untuk meneroka dan meluaskan tanah jajahan Inggeris.

Ketika itu, Sir Walter Raleigh telah menghantar satu ekspedisi ke Pulau Roanoke (kini dalam daerah North Carolina, Amerika Syarikat). Ekspedisi itu diketuai oleh John White pada tahun 1587.

Peta kedudukan Pulau Roanoke semasa zaman pelayaran Inggeris.

Sebelum John White, orang Inggeris pertama yang sampai ke pulau ini ialah Phillip dan Arthur pada 1584. Kemudian pada Ogos 1585 hingga Jun 1586, Ralph Lane datang ke sini bersama Thomas Harrlott, saintis England melakukan kajian.

Manakala ekpedisi ketiga diketuai oleh John White pada tahun 1587, dengan membawa seramai 117 orang bersamanya termasuk lelaki dan wanita. Setibanya di pulau itu, mereka mewujudkan koloni dengan berkebun, membina rumah dan mengembangkan waris.

John White mengetuai ekspidisi untuk mendirikan koloni Inggeris di Pulau Roanoke.

Beberapa bulan sebelum tiba musim bunga, White kembali ke England untuk mendapatkan bekalan keperluan bagi persediaan berdepan dengan musim sejuk nanti. Dia memulakan pelayaran awal kerana mengikut jangkaannya, dia akan kembali ke Pulau Roanoke sebelum berakhirnya musim luruh.

Beberapa minggu kemudian, White sampai ke United Kingdom dan mendapati peperangan sedang berlaku antara Inggeris dengan Sepanyol. Peperangan menyebabkan dia terkandas di England selama tiga tahun.

Selepas peperangan tamat, pada Ogos 1590, White berlayar semula untuk kembali ke pulau itu. Namun, setibanya di Roanoke, dia terkejut apabila mendapati pulau itu sudah tidak berpenghuni. Binaan rumah dan penempatan desa juga habis berkecai roboh.

Setibanya di pulau tersebut, White mendapati koloni Inggeris itu sudah tiada.

Apa yang ditemuinya cuma ukiran perkataan ‘Crotoan’ di pagar kayu dan tulisan ‘Cro’ pada batang pokok. Anehnya, bagaimana semua penduduk di situ hilang dari pulau itu? Ke mana mereka pergi?

White cuba mengesan koloni yang hilang itu. Bagaimanapun, usahanya gagal dan dia terpaksa meninggalkan pulau itu kerana cuaca buruk dan kembali semula ke England.

White dilaporkan tidak lagi kembali ke tanah jajahan itu selepas peristiwa tersebut. Sejak itu, nasib mereka yang hilang juga tidak pernah diketahui.

Banyak teori dikemukakan terhadap kehilangan kumpulan ekspedisi itu. Teori pertama dikaitkan dengan cuaca. Berkemungkinan ribut kuat telah menghancurkan perkampungan itu dan semua penduduk di pulau itu telah dihanyutkan ke laut. Namun, teori ini dipertikaikan kerana pagar kawasan tanah jajahan masih tegak berdiri. Adalah mustahil pagar langsung tidak terjejas jika kerosakan teruk itu disebabkan amukan badai.

Beberapa pengkaji pula percaya kumpulan ekspedisi itu mati kerana serangan penyakit. Namun ramai yang menyanggah teori ini. Timbul juga kemungkinan mereka menderita mati kelaparan memandangkan kekurangan makanan. Ia diambil kira berdasarkan rekod menunjukkan cuaca kemarau berpanjangan telah berlaku selama tiga tahun antara tahun 1587 hingga 1589. Pun begitu, jika benar itu adalah penyebabnya, di mana mayat-mayat mereka?

Ada juga teori mengatakan penduduk di pulau Roanoke meninggalkan pulau itu dan mula menetap di Chesapeake Bay. Pemimpin suku Powhatan kemudian membunuh kesemua mereka bagi mengelakkan lebih banyak tanah milik peribumi dicuri oleh penjajah Inggeris.

Ukiran ‘Crotoan’ pada pagar kayu yang ditemui menimbulkan tanda tanya.

Pengkaji cuba mengaitkan ukiran tulisan ‘Crotoan’ dengan misteri The Lost Colony. Dikatakan, sebelum White belayar meninggalkan koloni di pulau itu, dia ada berpesan kepada penduduk supaya meninggalkan mesej atau tanda jika berlaku sesuatu ke atas mereka.

Ada kemungkinan mereka memutuskan untuk tinggal bersama masyarakat peribumi di salah sebuah pulau bernama Crotoan. Namun, tiada bukti kukuh untuk mengesahkannya.

Sehingga kini, tiada siapa yang tahu apa sebenarnya terjadi kepada koloni yang lenyap itu.

Pulau Roanoke.

___________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare