Pasukan JAS sedang mengambil sampel bahan kimia di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, hari ini.

PENCEMARAN buangan terjadual di Kampung Baru Sri Aman, Kempas malam tadi yang melibatkan kawasan Sungai Tebrau sepanjang 1 kilometer tidak akan menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan berhampiran.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, melalui pemantauan dron, Unit Water Safety Plan (WSP) Ranhill SAJ mendapati sungai yang tercemar terus mengalir ke anak Sungai Tebrau dan tiada intake LRA RSAJ yang terlibat.

“Oleh itu, pencemaran ini tidak akan menyebabkan gangguan
bekalan air di kawasan berhampiran.

“Selain itu, seramai sembilan orang suspek telah ditahan oleh pihak polis berhubung kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor telah mengenalpasti punca yang menyebabkan pencemaran tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut di premis yang disyaki iaitu dari premis penyimpanan lori.

Ujar beliau, pemeriksaan dan siasatan juga dilakukan terhadap kilang-kilang pyrolisis di kawasan yang terlibat.

“Sebanyak sembilan sampel daripada kawasan kejadian dan sungai yang berhampiran telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa komposisi kimia.

“Kes disiasat di bawah seksyen 34B yang mana pesalah boleh dikenakan hukuman penjara mandatori maksimum 5 tahun dan denda sehingga RM500,000, atau kedua-duanya sekali selaras peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Sementara itu, Tuab Ibrahim berkata, JAS Negeri Johor sentiasa memantau dan meneruskan pemantauan terhadap tahap kualiti udara di kawasan sekitar tempat kejadian.

Menurut beliau, pihaknya tidak berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan menegaskan pesalah akan dikenakan hukuman yang setimpal.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana hasil maklumat yang diberikan membolehkan tindakan pantas diambil dalam membanteras insiden pencemaran buangan terjadual ini.

“Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke
[email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di eaduan.doe.gov.my,” tambahnya.