SEORANG petani miskin dan isterinya baru pulang dari ladang. Mereka hanya mampu berjalan kaki menyusuri sisi jalan raya untuk sampai ke rumah. Sambil berjalan, si petani menggenggam erat tangan isteri.

Tiba-tiba hujan turun. Pasangan petani itu masih terus berjalan. Tiada tempat untuk berteduh. Mereka tidak kisah, sudah biasa basah kuyup berjalan berdua dalam hujan.

Ketika itu, lalu sebuah motosikal yang dinaiki sepasang suami isteri. Berkatalah petani itu, “Lihat mereka. Walaupun mereka tetap basah ditimpa hujan, tapi mereka boleh sampai ke rumah lebih cepat daripada kita yang berjalan kaki. Mereka juga tidak terlalu letih seperti kita yang harus berjalan setiap hari.”

Dalam masa yang sama, lalu pula sebuah kereta kecil yang juga dinaiki oleh sepasang suami isteri. Apabila melihat kereta itu, berkatalah si penunggang motor tadi kepada isterinya, “Tengok tu, alangkah bagusnya kalau kita ada kereta walaupun kecil macam tu. Tak adalah kita basah lencun bila naik motor semasa hujan.”

Ketika itu juga, lalu pula sebuah kereta mewah buatan luar negara yang dipandu seorang lelaki kaya. Melihat kereta itu, si suami yang memandu kereta kecil tadi berkata kepada isterinya, “Kan bagus kalau kita ada kereta besar macam tu. Mesti lebih selesa. Tidaklah asyik rosak macam kereta lama kita ni.”

Dan si pemandu kereta mewah itu pula, tatkala melintasi sepasang suami isteri petani yang sedang berjalan kaki dalam hujan berkata dalam hati…

“Ah, alangkah bahagianya suami isteri itu. Walaupun miskin, mereka mesra berjalan bergandingan tangan. Kalau cuaca cerah, mereka akan tersenyum sambil menyusuri keindahan panorama desa ini. Tapi aku dan isteri ku? Kami sering tidak ada waktu untuk bersama kerana asyik sibuk dengan hal pekerjaan masing-masing…”

Pembaca sekalian, ketahuilah kita akan sentiasa rasa kekurangan bila melihat hidup orang lain yang lebih baik daripada kita. Kita tidak akan berasa bahagia apabila sering membandingkan kebahagian kita dengan kebahagiaan orang lain. Jangan mengeluh, sebaliknya bersyukur dan nikmati apa yang kita miliki.

__________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare