PUKUL 3.00 pagi, selepas minum-minum di sebuah kedai, saya tiba di rumah seorang sahabat bernama Hairi, 41, di Taman Paroi Jaya, Seremban. Saya mengenali Hairi baru beberapa bulan selepas diperkenalkan oleh seorang rakan.

Walaupun baru kenal, saya suka berkawan dengan Hairi sebab dia baik. Hairi suka bercakap soal agama, taubat, hakikat kehidupan manusia dan kehidupan di akhirat. Oleh kerana itu, saya sering bertandang ke rumah Hairi, walaupun pada lewat malam, hingga dinihari.

Suatu pagi, Hairi ceritakan kepada saya, dahulu hidupnya amat hitam. Dia seorang gengster, kaki perempuan dan kaki judi. Sekian lama bergelumang dosa, Hairi akhirnya bertaubat.

Seperti biasa, perbualan kami pagi itu banyak berkisar perihal agama. Hairi tidak henti-henti menasihati saya supaya berpegang kuat pada ajaran Islam. Maklumlah, ketika itu saya cuai dengan perintah agama. Sembahyang lima waktu tak pernah cukup. Semasa muda pula, saya suka berjudi dan nombor ekor.

Sedang berbual, Hairi menyuruh saya lihat ke arah pintu rumahnya dan sambil itu membaca surah al-Fatihah. Sebaik saya lakukan apa yang disuruhnya, saya lihat tiba-tiba suasana pada pagi dua minggu sebelum umat Islam berpuasa tahun 2007 itu, mula berubah.

Di telinga saya kedengaran bunyi seperti air laut menghempas pantai. Keadaannya begitu sayu dan membuatkan hati saya berasa sangat tenang. Dalam keadaan itu, tiba-tiba seorang lelaki berjubah putih muncul di hadapan mata saya. Jelas kelihatan, lelaki itu seolah-olah sedang berdiri di tengah laut.

Anehnya, lelaki itu hanya kelihatan dari paras pinggang ke atas. Dia berjanggut putih dan mukanya bersinar-sinar seperti bercahaya. Saat itu juga saya rasakan seolah-olah dibawa masuk ke alam lelaki berkenaan.

“Bagaimana aku boleh berada di alam lelaki ni? Tadi aku berdiri dengan Hairi di dalam rumah…” fikir saya dengan hati begitu gementar.

Lelaki itu berdiri di luar, seperti berada di tengah laut. Wajahnya bercahaya,

Tapi satu keanehan berlaku apabila saya berpaling ke arah Hairi. Saya lihat Hairi masih berdiri di dalam rumahnya. Hanya saya di alam lelaki itu. Kami seperti terpisah dalam dua alam, dan  saya berada dalam kedua-dua alam itu.

Lebih pelik, walaupun Hairi di dalam rumah, tetapi dia juga dapat melihat lelaki tersebut. Sekiranya tidak nampak, bagaimana Hairi boleh menyuruh saya memberi salam kepada lelaki berjubah itu.

“Betul ke apa yang aku nampak? Takkan aku kena bagi salam?” soal saya berkali-kali kepada Hairi kerana hairan atas apa yang berlaku.

Setelah didesak, saya akur dan memberi salam. Selepas menjawab salam saya, lelaki berjubah itu bersuara lagi dan membuatkan hati saya begitu gementar apabila dia mengaku seorang ulama terkenal yang telah meninggal beberapa ratus tahun dahulu. Ulama ini amat terkenal di kalangan penganut Islam di seluruh dunia.

“Aku datang membawa pesan. Kiamat sudah hampir tiba, kerana maksiat terlalu banyak!” pesan lelaki berjubah itu dan terus ghaib dari pandangan.

Serentak itu juga saya kembali ke alam nyata. Saya melihat sekeliling dan mendapati saya berada di dalam rumah Hairi. Lelaki berjubah, lautan di sekelilingnya serta bunyi deruan ombak, lenyap secara tiba-tiba. Pesanan lelaki itu membuatkan saya begitu takut.

Segala yang berlaku saya tanya kepada Hairi. Tapi tiada sebarang jawapan. Hairi diam membisu. Dia hanya berpesan, serahkan semuanya kepada Allah.

Saya tanya Hairi, bagaimana ini semua berlaku? Adakah Hairi mempunyai keistimewaan-keistimewaan tertentu, tetapi jawapan dari Hairi menambahkan lagi persoalan yang bermain di kepala saya.

Kata Hairi, dia sendiri tidak tahu bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Susah hendak dijelaskannya. “Serahkan aja pada Tuhan,” ulang Hairi lagi, terus mematikan soalan-soalan yang saya ajukan padanya.

Malam ketujuh umat Islam berpuasa, satu lagi peristiwa aneh saya alami. Ketika memandu pulang dari sembahyang tarawih di masjid Taman Paroi, tiba-tiba muncul empat orang lelaki berjubah dan berserban putih mengekori saya.

Keempat-empat lelaki berjubah itu menunggang kuda berwarna hitam. Wajah mereka tidak begitu jelas, tapi lagaknya seperti pahlawan pada zaman Islam mula berkembang di Asia Barat. Di sisi pinggang setiap penunggang kuda itu terselit sebilah pedang. Panjangnya hampir sedepa.

Tanpa sepatah kata mereka terus mengekori, dengan dua di hadapan dan dua lagi di belakang kereta saya. Mereka terus ikut saya hingga sampai ke rumah dan ghaib dalam sekelipan mata.

Malam esoknya, peristiwa sama berulang lagi. Tetapi kali ini saya diiringi oleh lima lelaki berkuda. Salah seorang penunggang kuda tersebut berada di hadapan kereta sambil memegang panji-panji hijau bertulis kalimah, ‘lailahaillallah’ dalam tulisan jawi. Tanpa sepatah kata, mereka terus mengiringi saya sehingga sampai di rumah dan ghaib dari pandangan.

Segala yang berlaku membuatkan saya jadi tidak keruan. Pernah beberapa kali saya ceritakan peristiwa ini kepada ustaz di kawasan kediaman saya ini. Ada yang kata itu semua syaitan. Saya tidak mahu menafikannya. Cuma saya musykil, dalam bulan puasa ada syaitan?

Lelaki-lelaki berkuda yang membawa panji-panji itu mengekori saya hingga ke rumah.

Ada yang kata itu semua hanya perasaan saya. Ilusi semata-mata. Tapi saya beritahu mereka, saya alaminya dalam keadaan sedar. Saya bukan bermimpi.

Selepas peristiwa itu, saya alami lagi kejadian aneh. Masih jelas di ingatan, selepas berbuka puasa, tiba-tiba handphone saya berdering. Anehnya apabila saya lihat di skrin telefon, hanya tertera nombor sembilan. Saya cuba menjawab panggilan itu tetapi tiada jawapan. Hanya kedengaran bunyi talian yang sudah terputus.

Apabila ke ruang tamu rumah, saya terkejut. Sembilan orang lelaki berjubah putih sedang berkumpul di ruang tamu! Beberapa kali saya menggosok mata untuk memastikan ia benar, tapi…!!!

Sah! Lelaki-lelaki berjubah itu berada di dalam rumah saya. Saya lihat mereka sedang khusyuk membaca al-Quran. Ada juga yang bertasbih dan berzikir memuji Ilahi.

Lebih aneh, hanya saya yang dapat melihat. Isteri dan anak-anak yang berada di dalam rumah langsung tidak mengetahui kewujudan sembilan lelaki berjubah itu. Kerana takut, saya hanya mematikan diri. Saya tidak berani menegur. Beberapa lelaki berjubah itu memandang saya dengan mata yang redup. Hampir lima minit berlalu, mereka terus ghaib.

Sejak mengalami semua peristiwa aneh itu, satu malam saya bermimpi. Mimpi ini berlaku beberapa hari selepas umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun lalu. Dalam mimpi itu, saya berada di tempat yang amat asing. Dari jauh saya lihat terdapat tembok besi yang ketinggiannya mencacak ke langit, seolah-olah tiada penghujung. Tebal tembok itu pula tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata.

Ketika berdiri di situ, saya berasa amat panas. Bahangnya membuatkan darah saya mendidih, seperti seluruh tubuh saya hangus terbakar. Apabila pintu tembok itu terbuka sedikit, saya lihat api menjulang tinggi. Apinya begitu marak membakar tanpa putus-putus.  

Panasnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Tiada api yang wujud di dunia ini lebih panas daripada apa yang saya lihat itu. Kemudian dari jauh, saya lihat pula seorang lelaki dalam keletihan. Kedua-dua belah kaki lelaki itu dibelenggu dengan rantai besi dan diikat pada seketul batu yang amat besar.

Lelaki itu cuba berjalan tetapi tidak berdaya menarik beban batu tersebut. Berulang kali lelaki itu mencuba, tapi tidak berjaya. Hinggalah dia lemah tidak bermaya. Dalam masa yang sama, api yang marak menyala terus membakar tubuhnya.

Lelaki itu terbakar, kakinya dibelenggu rantai.

Ketika memerhatikan lelaki tersebut, saya tercium pula bau yang amat wangi. Seumur hidup, tidak pernah saya mencium bau yang begitu wangi di dunia ini. Saya mencari-cari dari mana datangnya bau yang wangi. Tiada. Ketika itulah saya terjaga.

Apabila tersedar dari tidur, saya menjadi begitu takut. Peluh membasahi tubuh. Bayangan panas api yang dilihat dalam mimpi, benar-benar menghantui fikiran. Hati saya resah terkenang kembali dosa-dosa yang pernah dilakukan ketika muda dahulu.

Segala perkara yang dilalui itu, saya ceritakan kepada beberapa orang ustaz. Mamai yang mendakwa itu semua hanya mainan syaitan. Syaitan memang bijak memperdayakan umat manusia. Ia boleh menjelma dalam pelbagai rupa, sebagai haiwan, makhluk yang menakutkan, malah sebagai ulama dan zuhud.

Tapi saya pelik. Sekiranya benar mainan syaitan, kenapa semua perkara itu mengajak kepada perkara kebaikan. Semuanya menghindari diri saya daripada melakukan dosa.

Jika mainan syaitan ia mestilah seperti satu perkara yang saya alami ini…

Malam itu, saya sembahyang taubat memohon ampun kepada Allah di atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Ketika sujud, sambil berdoa memohon ampun, jelas di telinga kedengaran satu suara berbisik.

Suara itu berkata, ‘Tak perlu engkau bertaubat dan memohon ampun lagi kerana sesungguhnya dosa engkau telah diampunkan!’ Suara itu datang sekali lalu dan terus hilang.

Bagi saya, itu memang benar-benar mainan syaitan kerana sebagai manusia biasa, kita tidak mengetahui adakah dosa kita diampunkan ataupun tidak. Nabi yang bersifat maksum dan bebas daripada dosa pun tetap beribadah dan bertaubat kepada Allah, inikan pula manusia biasa seperti saya, yang sentiasa melakukan dosa ketika sedar atau tidak.

Semua kejadian yang berlaku itu benar-benar menginsafkan saya. Sekarang terpulang kepada anda hendak mempercayainya atau tidak. Sama ada hendak mengatakan itu semua khayalan semata-mata, syaitan, jin, ilusi dan bohong, terpulang.

Apa yang saya lihat itu membuatkan saya benar-benar insaf.

Kalau ada yang hendak mengatakan saya ‘sakit’ atau terlebih berangan, juga terpulang. Tujuan saya bercerita segala yang berlaku, adalah untuk mengajak semua umat manusia kembali ke pangkal jalan.

Tentang benarkah kiamat hampir tiba seperti pesan lelaki berjubah itu, saya pasti ia bukan hanya ditujukan kepada saya seorang. Mungkin lelaki itu mahu saya sebarkan peringatan itu kepada seluruh umat manusia.

Apabila teringat zaman kanak-kanak dahulu, saya sering lihat binatang seperti kambing, anjing dan kucing melalukan perbuatan tidak senonoh di tepi-tepi jalan. Tetapi kini kita sering lihat manusia pula yang melakukannya. Tanpa segan-silu manusia melakukan perkara-perkara terkutuk itu di tempat-tempat awam.  

Ada kes rogol anak sendiri, berzina, sumbang mahram, luar tabii dan macam-macam lagi. Mungkin itu salah satu tanda kiamat hampir tiba, seperti yang dikatakan oleh lelaki berjubah itu.

Diceritakan oleh : Rosli Mahat, Seremban, Negeri Sembilan.

——————————————————–

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam