Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

SELURUH rakyat perlu membulat tekad, memperkukuhkan azam dan membugar semangat perpaduan dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang bersatu hati sebagai Keluarga Malaysia berjaya dan dihormati.

Saranan itu disurakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia yang terbentuk pada 16 September 1963 masih utuh sebagai sebuah negara yang aman, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong sebagai ‘Payung Perpaduan Negara’.

Beliau berkata, kisah perjalanan negara tercinta ini penuh dengan lembaran yang berwarna-warni.

Kata beliau, penyatuan bersama Sabah dan Sarawak telah membina satu negara bangsa yang berjaya dan berdaulat.

Baca artikel berkaitan: Ismail Sabri berjaya capai perdamaian politik walaupun ada risiko menanti

“Terbinanya sebuah negara bangsa yang disebut dengan bangga sebagai Malaysia adalah hasil capaian kemerdekaan Tanah Melayu 64 tahun lalu, kemudiannya terbentuk Malaysia enam tahun kemudiannya bersama-sama Sabah dan Sarawak tercinta.

“Biarpun terpisah dengan luasnya Laut China Selatan, penyatuan bersama Sabah dan Sarawak telah membina satu negara bangsa yang berjaya dan berdaulat serta Keluarga Malaysia yang tinggal dengan semangat harmoni di dalamnya.

“Hari ini, Keluarga Malaysia ini diwarnai dengan warna-warni yang disatukan, dengan penghormatan dan rasa bangga untuk ibu pertiwi.

“Kepada Keluarga Malaysia yang amat saya sayangi, Selamat Hari Malaysia!,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram