GAMBAR: Abd Razak Aid

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah pun menyiapkan draf prosedur operasi standard (SOP) berkaitan solat berjemaah di masjid dan surau bagi dijadikan panduan kepada semua negeri.

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad seperti dipetik BH Online.

Menurut Idris, draf SOP solat berjemaah di masjid dan surau itu telah pun diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang diadakan semalam.

Bagaimanapun, kata beliau, Jakim hanya berperanan sebagai penyelaras dan penanda aras dalam menyediakan draf ketetapan.

Idris berkata, prosedur pelaksanaan termasuk kuota jemaah tertakluk kepada kuasa badan agama negeri.

“Semua mufti negeri akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa agama negeri masing-masing sebelum SOP baharu negeri diumumkan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mempersiapkan negara bagi memasuki fasa endemik COVID-19.

Baca artikel berkaitan: Tambah kapasiti solat jemaah, Jakim diarah sediakan SOP baharu

“Hal berkaitan agama ini tanggungjawab negeri. Kadang kala masyarakat marah mengapa masjid tak boleh datang ramai sedangkan ini (keputusan) bukan tugas kita (Kerajaan Persekutuan), kita tak boleh campur urusan agama (negeri), kita kena hormat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program penyerahan Bank Makanan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan kotak makanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong, Melaka.

Hadir sama, Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Penasihat Agama Ketua Menteri, Datuk Kamarudin Sidek.

Sementara itu, mengulas perkembangan segelintir guru agama yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19, Idris berkata, golongan berkenaan sewajarnya memberi kerjasama dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian pandemik terbabit.

Katanya, nyawa anak murid dan pelajar tidak boleh ‘digadaikan’ selain perlu mengambil kira keputusan pengambilan vaksin bukan sahaja berlandaskan pandangan ulama tempatan sahaja, tetapi juga cendikiawan agama dari negara Islam seluruh dunia.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram