Sebahagian daripada orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak pada Program Vaksin Selangor (SelVax) di Padang Awam, Batu Caves, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KADAR pemberian vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus berjalan lancar mengikut perancangan dalam usaha negara mencapai imuniti kelompok.

Usaha itu telah pun menyaksikan hampir 18 juta populasi keseluruhan negara telah pun lengkap divaksinasi, merangkumi 76.2 peratus populasi dewasa.

Statistik hampir 18 juta atau lebih tepat 17.833 juta individu itu turut merangkumi 54.6 peratus populasi keseluruhan telah lengkap menerima dos kedua bagi vaksin dua dos dan satu dos bagi vaksin dos tunggal CanSino.

Sehingga semalam, sebanyak 39.483 juta dos vaksin telah pun diberikan seluruh negara sejak PICK dilancarkan penghujung Februari lalu.

Populasi yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos pula telah mencecah 21.719 juta individu atau 66.5 peratus keseluruhan penduduk.

Dari segi pemberian harian, jumlah dos kekal berada di bawah paras 300,000 semalam.

Sebanyak 248,810 dos telah pun diberikan merangkumi 68,534 untuk dos pertama manakala 180,276 bagi suntikan kedua vaksin COVID-19.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan, kadar populasi dewasa yang telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos telah pun mencapai 92.5 peratus.

Baca artikel berkaitan: Lebih 75 peratus dewasa lengkap vaksinasi setakat semalam

Bagi pemberian dua dos vaksin mengikut negeri, menurut JKJAV, Lembah Klang terus mencatatkan pemberian tertinggi melibatkan 6.442 juta atau 76.5 peratus populasi.

JKJAV memberitahu, ia diikuti liputan 1.817 juta (64.5 peratus populasi) di Sarawak; 1.765 juta (46.7 peratus populasi) di Johor; 1.447 juta (37.0 peratus populasi) di Sabah; dan sebanyak 1.065 juta (42.4 peratus populasi) di Perak.

Menurut JKJAV, Pulau Pinang menjadi penerima keenam tertinggi iaitu sebanyak 976,785 individu melengkapkan dua dos diikuti Kedah (885,638) dan 739,575 di Negeri Sembilan.

“Seterusnya, Pahang berjumlah 696,708; Kelantan telah mencatatkan 679,359 lengkap dos kedua dan 597,331 di Terengganu.

“Di Melaka pula, sebanyak 506,571 telah lengkap dua dos vaksin diikuti 147,482 di Perlis dan 66,909 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, JKJAV berkata, Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga menjadi penerima tertinggi bagi pemberian satu dos vaksin iaitu sebanyak 7.056 juta.

Selain Lembah Klang negeri penerima dos pertama tertinggi, Johor menjadi negeri tertinggi seterusnya iaitu seramai 2.460 juta individu.

Ia diikuti Sarawak 1.942 juta; Sabah (1.866 juta); Perak (1.524 juta) dan Pulau Pinang (1.273 juta).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram