sihat kerana taat agama

“Kesihatan yang buruk dapat memicu seseorang meninggalkan agama dan kehilangan kepercayaannya akan adanya Tuhan”Christopher Scheitle.

Kenyataan penganalisis kesihatan dari Penn State University itu sebenarnya membawa banyak maksud. Malah kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau melakukan kajian berkaitan pengaruh agama dalam kesihatan.

Mengenai kenyataan di atas, kebarangkalian yang boleh diguna pakai ialah, kalau kesihatan yang buruk boleh memicu seseorang meninggalkan agama, pasti berlaku sebaliknya, iaitu jika kesihatan yang baik, pasti orang akan lebih menghambakan diri pada Tuhan.

Sementara itu, imbasan MRI menunjukkan bahawa otak yang taat beragama memiliki lapisan yang tebal jika dibandingkan dengan orang yang sebaliknya. Penelitian ini sekaligus menunjukkan orang yang menjalani kehidupan beragama, cenderung akan memiliki ukuran hippocampus yang lebih kecil dari yang tidak (orang Atheis).

Hippocampus adalah bahagian otak yang berperanan dalam aktiviti mengingati kerosakannya akan meningkatkan peluang tekanan serta Alzheimer di usia tua.

Harold G. Koenig, Pengarah Center for Spirituality, Theology, and Health di Duke University menulis beberapa buku antaranya The Healing Power of Faith and Mental Health. Buku-buku tersebut mengenai manfaat agama bagi kesihatan.

Manfaatnya antara lain, menurunnya stres melalui doa. Malah dalam kajian yang pernah dilakukan oleh Christopher Scheitle juga menunjukkan sebanyak 40 peratus orang yang mempraktikkan agama dalam kehidupan adalah dalam keadaan sihat. Berbanding orang yang tidak mempercayai tuhan, lebih cenderung kepada kehidupan yang tidak sihat.

Selain itu, dalam International Journal of Psychiatry in Medicine, melaporkan, orang yang mengaku dirinya tidak berkeyakinan agama lebih sering sakit dan mempunyai jangka hayat lebih pendek.

Mereka yang tidak beragama berpeluang dua kali ganda lebih besar menderita penyakit usus daripada mereka yang taat beragama, dan risiko kematian mereka akibat penyakit pernafasan 66 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang taat beragama.

Otak orang yang taat beragama memiliki lapisan yang tebal jika dibandingkan dengan orang yang sebaliknya.

Itu antara kajian yang pernah dilakukan oleh orang barat mengenai pengaruh agama dalam kesihatan manusia. Untuk mempercayai semuanya, ia amat sulit kerana kita berkiblatkan al-Quran dan hadis, bukan seperti golongan Israiliyat yang melihat pada kajian manusia dan juga logik akal.

Justeru, disebabkan dapatan kajian di atas menarik, maka Al Islam meminta Pensyarah Program Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya. Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni mengulas lebih lanjut tentang perkaitan di antara agama dan kesihatan dalam kehidupan manusia.

Secara langsung, Dr. Kamaluddin tidak menafikan akan kajian di atas turut mengaitkannya dengan psikologi manusia dan akidah yang terpengaruh.

“Jika ada kajian mengatakan bahawa orang beragama itu kesihatannya lebih bagus berbanding orang yang tiada agama, itu benar sekali. Ini kerana bagi orang yang beragama, mereka mengakui adanya Tuhan meskipun mereka bukan Islam. Jadi segala permasalahan yang dihadapi, akan diadu pada Tuhan, berbeza dengan orang yang tidak percaya Tuhan, kehidupan mereka lebih buruk dan tidak terurus.”

Namun, tegas Dr. Kamaluddin lagi, sebagai seorang Islam, kita wajib meyakini bahawa  Islam adalah agama yang terbaik di antara agama yang ada di muka bumi ini. Kerana dalam banyak-banyak agama, Islam adalah satu-satunya agama yang sangat menyeluruh (syumul) dalam segala aspek, termasuk aspek kesihatan.

Umat Islam yang taat pada perintah Allah dan Rasul pasti hidupnya lebih sihat disebabkan tiga faktor utama dalam Islam, iaitu gaya hidup, sosial dan spritual.

Gaya hidup membawa sakit

Dr. Kamaluddin menjelaskan, Islam adalah satu agama yang memerintahkan penganutnya agar menjalani kehidupan yang sihat. Bermula sejak lahir sehingga menghembuskan nafas terakhir, begitu juga bermula bangun tidur hingga malamnya, Islam meletakkan garis panduan yang sempurna untuk diikuti oleh setiap hambaNya.

Nabi Muhammad s.a.w. adalah ‘role model’ dalam mengamalkan gaya hidup sihat. Pertamanya ia meliputi faktor pemakanan. Imam Tarmizi, Ibnu Majah, Hakim dan Ibnu Hibban masing-masing pernah meriwayatkan satu sabda Nabi s.a.w.

“Tidak ada bekas yang lebih buruk yang dipenuhi oleh manusia selain perutnya. Dia sebenarnya hanya memerlukan beberapa suap untuk meneruskan hidupnya. Oleh kerana itu, perut perlu dibahagikan kepada tiga bahagian; sepertiga makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk udara.”

Disebabkan itu, ajaran Islam menuntut umatnya ‘makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang’. Ini kerana sebahagian besar penyakit berlaku kerana pengambilan makanan yang berlebihan atau melebihi keperluan tubuh.

Islam menjaga umatnya dengan mengambil makanan yang halal, sihat dan berkhasiat

Imam Syafi’e pernah berkata “Saya tidak pernah kenyang selama sepuluh tahun kecuali sekali sahaja, kerana kekenyangan akan mengakibatkan tubuh menjadi berat, hati menjadi keras, mengurangkan kecerdasan, mengundang rasa mengantuk, serta melemahkan orang yang melakukannya serta mendorong agar malas beribadah.”

Tuntas Dr. Kamaluddin lagi, dalam Islam, Allah menggariskan ada dua jenis makanan yang harus diteliti oleh orang Islam sebelum memakannya, iaitu halal atau haram. Pengelasan jenis makanan ini bukan dibuat suka-suka oleh Yang Maha Berkuasa, tetapi ada implikasinya dari sudut kesihatan manusia.

Seperti contoh, Allah mengharamkan arak, kerana ia boleh memabukkan sehingga menjejaskan kesihatan, bukan setakat fizikal, tetapi juga mental.

Malahan, antara makanan sunnah seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. turut mengandungi pelbagai khasiat, bukan sahaja dari sudut rohani, tetapi juga kesihatan tubuh badan sehingga diakui oleh kebanyakan pakar kesihatan. Antara makanan sunnah yang boleh menjadi penawar kesakitan seperti kurma, buah zaitun, buah tin, apriot dan banyak lagi.

Begitu juga dalam bab lain selain pemakanan. Islam amat menitikberatkan aspek kesihatan sehingga dalam setiap ibadah dan ajarannya, tiada satu pun yang menjejaskan kesihatan, akan tetapi lebih menyihatkan.

Seperti contoh, hasil kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal, Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Begitu juga dengan ibadah lain seperti puasa, menunaikan haji, dan bermacam lagi. Semua itu mempunyai pelbagai kelebihan yang telah nyata, malah ahli barat pun mengakuinya. Wallahu a’lam

_________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram