SELURUH rakyat disaran supaya menjadikan tarikh 16 September hari ini sebagai pemangkin dan titik permulaan bagi kerjasama lebih erat sebagai satu Keluarga Malaysia.

Kerjasama itu sekali gus membantu proses pemulihan negara sama ada dalam aspek ekonomi mahu pun sosial.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semangat cintakan negara perlu dipupuk dan disemai dalam diri setiap rakyat Malaysia.

Walaupun masih berhadapan kemelut pandemik COVID-19, namun Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu yakin dan percaya negara mampu keluar dengan selamat dan teratur berbekalkan semangat perpaduan jitu serta usaha bersama rakyat Malaysia.

“Bersama-samalah kita jadikan tarikh 16 September ini sebagai pemangkin dan titik permulaan bagi kerjasama lebih erat antara kita sebagai satu Keluarga Malaysia bagi membantu proses pemulihan negara baik dalam aspek ekonomi mahupun sosial.

“Saya ingin menyeru semua anak-anak Malaysia untuk terus menggembleng usaha, membulat tekad dan bersatu hati untuk menyumbang sehabis baik agar Malaysia kekal aman, makmur dan sejahtera.

Baca artikel berkaitan: Bulatkan tekad bina Keluarga Malaysia berjaya – PM

“Berikrarlah pada diri sendiri bahawa kita akan melakukan yang terbaik untuk Malaysia walau betapa getir cabaran yang kita tempuhi ketika pandemik ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berharap supaya semua pihak tidak sesekali berputus asa apatah lagi usaha berterusan setakat ini sudah mula membuahkan hasil dan menunjukkan kejayaan.

“Marilah bersama-sama melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan bahawa hari-hari yang mendatang adalah lebih baik untuk Malaysia yang kita cintai ini, Insya-Allah.

“Selamat Hari Malaysia!,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram