KERAJAAN sentiasa memastikan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbela dan disanjung atas khidmat bakti yang besar kepada negara.

Jaminan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut tidak ketinggalan mengucapkan Selamat Hari ATM Ke-88 yang disambut hari ini.

Menurut Perdana Menteri, ATM sentiasa siap siaga untuk memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan tanah air terpelihara.

“Pelbagai eksesais dilaksanakan, bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, taktikal, penggunaan aset tetapi juga kesediaan mental para perwira ATM.

“Kerajaan sentiasa memastikan kebajikan warga ATM terbela dan disanjung atas khidmat bakti yang besar kepada negara.

Baca artikel berkaitan: ATM kuasai 4M, siap siaga hadapi ancaman keselamatan

“Bukan sedikit yang dipertaruhkan demi negara, malah air mata, darah, keringat, hatta nyawa mereka sendiri.

“Terima kasih kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas pengorbanan yang tidak terhingga ini.

“Selamat Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-88. Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama!,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dalam perutusan khas sempena Hari ATM ke-88 berkata, warga ATM perlu siap siaga dalam menghadapi situasi peningkatan ancaman keselamatan serantau dan global terutamanya strategi peperangan hibrid dengan menguasai dan mendalami aspek 4M.

Kata beliau, aspek 4M berkenaan merangkumi Man, Machine, Method dan Mates.

Beliau berkata empat aspek penting itu agar tahap kesedaran, kompetensi serta kebersamaan dalam pasukan menjadi lebih kukuh dan utuh.

“Penguasaan ini bagi membolehkan anggota ATM diatur gerak dalam pelbagai tugasan pada bila-bila masa dalam menghadapi apa-apa jua ancaman mendatang dengan lebih efektif dan efisien.

“Sebagai benteng utama pertahanan negara, aspek berkenaan perlu sebagai persediaan bagi cabaran dan ancaman terutamanya dalam menghadapi situasi keselamatan serantau dan global yang tidak menentu serta dibayangi peningkatan ancaman keselamatan bukan tradisional,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram