Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan perutusan sempena sambutan Hari Malaysia 2021 di Kota Kinabalu, hari ini. GAMBAR: Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia

KERAJAAN memberi jaminan untuk terus memperhalusi perkara-perkara yang perlu diselesaikan melalui rundingan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan melalui Majlis Khas MA63 berjanji akan memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, Majlis Khas MA63 dipengerusikannya sendiri dan dianggotai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg dan lapan menteri Persekutuan.

“Setiap kali menjelang Hari Malaysia, persoalan ‘rakan kongsi’ sering dibangkitkan. Kerajaan melalui Majlis Khas MA63 berjanji memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak.

“Usaha ini membuktikan kerajaan komited dalam memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan pelbagai perkara penting bagi negeri Sabah dan Sarawak.

“Kita perlu bersyukur, meskipun Malaysia sebuah negara yang negeri-negerinya terpisah oleh Laut China Selatan, setiap cabaran telah berjaya ditangani dan dihadapi dengan kerangka tindakan toleransi dan demokratik berpaksikan keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Perdana Menteri luang masa lawat mangsa tanah runtuh

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Perdana Menteri sempena sambutan Hari Malaysia 2021 di Kota Kinabalu malam ini.

Sebelum ini, MA63 antara enam transformasi yang dimasukkan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH), Isnin lalu.

Melalui MoU itu, transformasi MA63 akan memperkukuh usaha ke arah pelaksanaan perkara yang termaktub dalam perjanjian itu dengan dokumen yang berkaitan dengannya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menghayati dengan mendalam makna Hari Malaysia yang bersejarah ini.

Sebagai Keluarga Malaysia yang besar, katanya, semua pihak harus bertoleransi dalam semua perkara, hormat menghormati serta mengekalkan perpaduan merentasi ideologi politik demi negara Malaysia yang dicintai.

Beliau berkata, perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa selain integrasi nasional silang budaya serta merentasi ideologi politik adalah tunjang kekuatan sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya.

“Ayuh Keluarga Malaysia, kita bulatkan tekad dan bersatu hati untuk terus memelihara serta mempertahankan kedaulatan negara.

“Umpama selembar benar, dikait, ditenun dan dijalin akhirnya menjadi kain yang sempurna indahnya. Itulah semangat Keluarga Malaysia yang menjunjung utuh perpaduan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram