KEMENTERIAN Kewangan mengumumkan KPMG telah bersetuju dengan penyelesaian bernilai AS$80 juta (RM333 juta) bagi memenuhi semua tuntutan berkaitan tanggungjawab fidusiari dalam pengauditan akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk tempoh 2010 hingga 2012.

Penyelesaian itu mengakhiri tuntutan sivil yang difailkan pada 6 Julai 2021 terhadap KPMG.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penyelesaian itu sekali gus membuktikan tekad kerajaan meneruskan segala usaha pemulihan terhadap semua pihak yang terlibat dalam 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.

“Kerajaan akan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam skim global 1MDB ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan dicapai itu mempercepat penyelesaian berkenaan yang akan digunakan untuk memenuhi obligasi 1MDB yang tertunggak.

Baca artikel berkaitan: Gopal Sri Ram kekal pendakwa utama kes berkaitan 1MDB

Ia juga menjimatkan sumber awam dari segi kewangan dan tempoh masa pengadilan.

Penyelesaian dengan KPMG itu bernilai lebih daripada 800 kali ganda fi audti yang diperoleh syarikat tersebut yang merupakan salah satu penyelesaian berkaitan 1MDB terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

Menurut Kementerian Kewangan, penyelesaian berkenaan tidak akan memberi kesan atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low dan pihak lain yang berkaitan dengannya dan yang masih diburu pihak berkuasa berhubung skandal kewangan 1MDB.

Kementerian Kewangan juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, badan pengawal selia dan agensi penguatkuasa yang terlibat atas usaha dalam mencapai penyelesaian berkenaan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram