Dr Noor Hisham Abdullah

SEBANYAK lima kes positif COVID-19 telah dikesan sehingga pukul 12 tengah hari tadi menerusi ujian saringan melibatkan projek rintis gelembung pelancongan domestik Langkawi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mula melaksanakan semakan ujian saringan COVID-19 dan ujian saringan bagi pelancong yang belum menjalankan ujian sebelum mereka berlepas ke Pulau Langkawi di pintu masuk udara dan laut.

Secara keseluruhan, kata beliau, seramai 2,546 individu telah disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi.

Daripada jumlah itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan, sejumlah 1,250 individu telah disaring di empat pintu masuk lapangan terbang iaitu 338 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); 373 di KLIA2; 487 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dan 52 lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Beliau berkata, seramai 1,296 individu lagi yang menggunakan perkhidmatan feri telah disaring di Kuala Perlis.

“Seramai 2,528 individu telah menjalani ujian RTK-Antigen dengan lima kes positif telah dikesan manakala enam individu menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum ke lapangan terbang dengan kesemua keputusan adalah negatif.

Baca artikel berkaitan: Langkawi kembali ‘bernyawa’, terima kehadiran pelancong

“Baki 12 orang kanak-kanak di bawah umur enam tahun tidak menjalani ujian COVID-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing.

“Kesemua lima kes yang telah dikesan merupakan kategori 1 iaitu tidak bergejala. Kes-kes ini telah diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, projek rintis itu perlu dilaksanakan dengan berhati-hati kerana kejayaan projek tersebut sebagai gelembung pelancongan domestik pertama sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi seterusnya.

Atas sebab itu, katanya, kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi telah menerima vaksinasi lengkap, bukan merupakan kes positif COVID-19 dan bukan kontak rapat.

Menurut Dr. Noor Hisham, kejayaan untuk membawa negara keluar daripada kemelut pandemik ini tidak hanya boleh bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan semata-mata sebaliknya perlu didukungi usaha sama semua lapisan masyarakat.

“KKM ingin mengingatkan masyarakat untuk terus mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri dalam apa keadaan sekali pun bagi menjaga keselamatan diri, kelarga dan masyarakat sekeliling.

“Sekiranya bergejala sama ada semasa tempoh melancong atau setelah pulang dari Langkawi, segeralah dapatkan rawatan awal atau lakukan ujian kendiri bagi membendung penularan COVID-19,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram