Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Parlimen, GAMBAR: Jabatan Penerangan

Oleh DATUK MOHD SYED FAZMI SAYID MOHAMMAD

MENELITI dengan setiap patah perkataan dalam titah Yang di- Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Isnin lalu ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 menjentik hati saya untuk berkongsi pandangan yang harus kita hayati.

Dalam para ke 12 titah Seri Paduka dengan jelas menyebut “Beta menasihatkan kepada semua pihak agar mengamalkan demokrasi musyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan”.

Petikan dari titah Agong ini amat dalam maksudnya yang harus difahami oleh kita semua. Semangat musyawarah telah terbukti berkesan dalam banyak sejarah pemerintahan Empayar Uthmaniyah.

Pada Mac 2020 Presiden Indonesia juga melancarkan “Musyawarah Perencanaan Pembangunan Nasional” yang melibatkan seluruh kepimpinan negara pelbagai parti dan masyarakat untuk merealisasikan pelan pembangunan Jakarta yang menjadikan kejayaan besar buat Joko Widodo.

Seawal perlantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, beliau telah mengamalkan semangat musyawarah ini apabila menjemput kepimpinan pembangkang (PH) untuk bersama memikirkan dan berkongsi pandangan berkaitan kaedah menangani pandemik dan usaha memulihkan ekonomi negara dan rakyat.

Apa yang berlaku semalam dalam satu persefahaman antara Kerajaan dan Pembangkang(PH) merupakan satu era politik baru yang cuba dibawa oleh Perdana Menteri.

Sikap keterbukaan Perdana Menteri untuk melibatkan seluruh ahli-ahli parlimen dalam takbir urus kerajaan khususnya berkaitan usaha menangani pandemik dan memulihkan ekonomi rakyat seharusnya mendapat sokongan seluruh rakyat dan kepimpinan semua parti politik negara.

Peluang yang wujud ini harus digunakan sebaik mungkin oleh semua pihak termasuk pembangkang demi memastikan perancangan kerajaan mampu dilaksanakan dengan jaya dan akhirnya manfaat bakal dirasai oleh Keluarga Malaysia.

  • Datuk Mohd Syed Fazmi Sayid Mohammad adalah Setiausaha Politik Perdana Menteri.