Sebahagian daripada jemaah menunaikan solat di Masjid Ar Rahah Kampung Kerinci, Kuala Lumpur baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PULAU Pinang membenarkan bilangan jemaah mengikut kapasiti ruang sesebuah masjid dan surau bagi mereka yang telah lengkap divaksin.

Kebenaran ini berkuat kuasa esok dengan tertakluk kepada penjarakan fizikal satu meter dan prosedur operasi standard (SOP) lain.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Mohd Zakuan Zakaria dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zakuan pada masa sama meminta jemaah mematuhi SOP ketat yang ditetapkan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

“Namun bagi mereka yang baharu sahaja mendapat satu dos vaksin, jemaah dibenarkan untuk hadir menunaikan solat di masjid dan surau seperti SOP terdahulu iaitu hanya 150 orang untuk masjid negeri, 100 orang di masjid kariah dan 50 orang di surau.

“Selain itu, pihak masjid atau surau juga perlu menyediakan ruang khas untuk mereka yang bermusafir dan pemandu e-hailing menunaikan solat,” katanya.

Menurut beliau, bagi khutbah Jumaat, khatib jemputan tidak dibenarkan dan hanya boleh menggunakan teks JHEAIPP.

Ujarnya, semua majlis ilmu pula hendaklah diadakan secara dalam talian sahaja manakala bacaan Yassin dan tahlil secara fizikal dibenarkan pada malam Jumaat.

Baca artikel berkaitan: Draf SOP solat berjemaah sudah dimuktamad – Idris

Tambah kapasiti solat jemaah, Jakim diarah sediakan SOP baharu

Kata beliau, pihaknya memutuskan majlis rasmi, akad nikah atau majlis sosial masih tidak dibenarkan di masjid atau surau di negeri ini.

“Bagi pengurusan jenazah bukan kematian COVID-19, seramai 30 orang dibenarkan untuk solat jenazah dan urusan pengebumian. Ziarah kubur juga dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihak masjid dan surau perlu membentuk Jawatankuasa Pemantau untuk memastikan SOP yang dikeluarkan itu dipatuhi dan mengambil tindakan segera dengan melakukan sanitasi jika terdapat kes COVID-19.

“Semua SOP itu terpakai pada warganegara dan pemastautin tetap berusia 15 hingga 70 tahun, manakala bagi mereka berusia 71 tahun ke atas yang sihat boleh melaksanakan solat di masjid atau surau tapi tidak digalakkan,” jelasnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram