Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal sekitar kawasan perumahan yang dipagar menggunakan kawad duri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Merpati, Pandan Indah, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK dua lagi kawasan di Sabah dan Pahang akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes positif COVID-19.

Pelaksanaan PKPD di dua kawasan Sabah dan Pahang itu akan dilaksanakan bermula Ahad ini selama dua minggu.

Perkara berkenaan diumumkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad dalam kenyataan hari ini.

Keputusan melaksanakan PKPD di kedua-dua lokaliti itu dilakukan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

Rodzi berkata, penguatkuasaan PKPD di dua lokaliti itu akan berpanjangan sehingga 2 Oktober depan.

“Pelaksanaan PKPD di Pahang melibatkan Kampung Sungai Padi, mukim Telang, Lipis.

“PKPD di Sabah pula akan dikenakan di Kampung Air, Beluran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Catat sejarah! Hanya satu lokaliti dikenakan PKPD di Pahang

Sementara itu, Rodzi turut memaklumkan satu kawasan PKPD di Perak yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan lagi selama dua minggu.

Katanya, keputusan melanjutkan PKPD itu setelah meneliti analisis KKM mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

PKPD itu melibatkan Taman Samudera, Seri Manjung di Manjung.

Pada masa sama, Rodzi memberitahu dua lagi kawasan di Pahang dan Perak akan ditamatkan PKPD esok seperti yang dijadualkan.

Kedua-dua kawasan itu telah mula dikenakan PKPD sejak 5 September lalu.

“Lokaliti itu melibatkan kawasan sekitar Pekan Padang Tengku, mukim Gua, Lipis meliputi Kampung Baru, Taman Bakti, Taman Dahlia serta deretan kedai Pekan Padang Tengku.

“PKPD di Perak yang akan tamat pula melibatkan Kampung Orang Asli Sungai Cincin, Batang Padang,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram