Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PEMBAYARAN pertama Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 berjumlah RM500 akan disalurkan kepada penerima mulai Selasa depan, 21 September 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan tersebut akan memberi manfaat kepada lebih satu juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro bagi meringankan beban kewangan dalam mengharungi tempoh mencabar.

Kata beliau, pembayaran kedua GKP 4.0 yang juga berjumlah RM500 akan disalurkan kepada penerima pada November depan dengan inisiatif berkenaan melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0 melibatkan implikasi kewangan RM500 juta.

“Saya berharap bantuan ini dapat menggerak dan memulihkan kembali sektor PKS yang merupakan enjin pertumbuhan ekonomi Keluarga Malaysia.

“Kerajaan memberi keutamaan kepada pemain industri ini kerana mereka merupakan antara sektor yang paling terjejas sepanjang pandemik COVID-19.

“Semoga dengan bantuan ini, peniaga kecil seperti pemilik gerai makanan, kedai gunting rambut, bengkel dan kedai kek dapat mengurangkan beban serta membantu aliran tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Bayaran tambahan GKP 3.0 disalurkan mulai hari ini

Pembayaran tersebut akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP.

Semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 20 September melalui portal GKP iaitu https://gkp.hasil.gov.my.

Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih satu juta PKS mikro di bawah GKP semenjak COVID-19 melanda negara adalah
RM6.08 bilion.

Pendaftaran bagi permohonan GKP 4.0 telah pun dibuka mulai 15 hingga 31 Julai lalu secara dalam talian.

GKP 4.0 ialah geran di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan pada 28 Jun lalu.

Melalui geran itu kerajaan memperuntuk RM1 bilion dengan bayaran akan dibuat pada September 2021 (RM500) dan November 2021 (RM500) membabitkan penerima GKP sedia ada dan juga pemohon yang baharu diluluskan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram