Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen Teluk Intan atas 32 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal ke atas tujuh pelajar lelaki sejak Julai hingga Sept tahun lalu./ Gambar media sosial BERNAMA

TERTUDUH seorang guru di sebuah sekolah menengah di Tapah, Perak yang di bahunya terletak amanah mendidik anak bangsa.

Namun, hari ini dia didakwa di Mahkamah Sesyen Teluk Intan kerana melakukan seks luar tabii dan gangguan seksual terhadap tujuh orang pelajar lelaki.

Kesemuanya terdapat 32 pertuduhan ke atas guru tersebut termasuk 10 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan 22 dakwaan melakukan amang seksual fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh, Mohd Faizal Amir, 32, sejak Julai hingga September tahun lalu.

Mohd Faizal Amir, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Menurut pertuduhan, guru itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di rumah warden di sebuah sekolah menengah di Tapah antara 28 Julai dan 28 September 2020.

Bagi kesalahan seks luar tabii, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan untuk pertuduhan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14(d) Akta sama.

Kedua-duanya membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.

Baca artikel berkaitan: Warga emas didakwa lakukan amang seksual ke atas cucu

Intan Nurul Farena kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM55,000 dengan seorang penjamin atas semua pertuduhan.

Bagaimanapun terdapat syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati dan mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, serta menetapkan 15 November untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Cheah Shuh Yuan manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Farid Wajdi Hanif.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram