INSTITUT Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) sedang bekerjasama dengan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Islam Antarabangsa (IIiBF) merangka program membina asas pengetahuan syariah dalam kalangan pelajar.

Program bersiri dinamakan i-Kontrak itu juga disasarkan dapat memperkukuh perkembangan kewangan Islam di peringkat global.

Menurut IBFIM, i-Kontrak turut bertujuan memberi panduan berkaitan piawaian dan keperluan operasi bagi memperkukuh pematuhan syariah dalam industri kewangan Islam.

Katanya, pendekatan pembelajaran yang diterapkan dalam program tersebut penting kerana merupakan anjakan paradigma bagi pemahaman lebih mendalam terutama dalam menghubungkait aspek teori dan operasi dalam kontrak syariah.

Yusry Yusoff

Program berkenaan telah dilancarkan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar dan diadakan bersempena program Wacana Presiden Kewangan Islam UIAM yang disampaikan Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, institut tersebut dan IIiBF berkongsi aspirasi yang sama dalam usaha memperkukuh dan meletakkan Malaysia sebagai hab ilmu pengetahuan kewangan Islam terkemuka.

Prof. Dr. Rusni Hassan

Baca artikel berkaitan: IBFIM, UNISSA meterai perjanjian tingkat kebolehpasaran

Beliau turut melahirkan rasa bangga dapat bekerjasama dengan IIiBF menerusi program tersebut.

“Usaha ini akan menjadi titik awal rujukan bagi komuniti kewangan Islam di peringkat global.

“Inisiatif ini dilihat dapat membuka ruang bagi pemahaman lebih jelas serta dapat menyelaraskan pengetahuan dan amalan praktikal antara sarjana syariah dan pengamal industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dekan IIiBF, Prof. Dr. Rusni Hassan berkata, kerjasama antara IIiBF dengan IBFIM menandakan sinergi antara industri dan akademik dalam memastikan perkembangan berterusan industri kewangan Islam.

“Dalam perjalanan menuju ke arah pembangunan kelestarian global, penting bagi sistem kewangan memainkan peranan dalam memberi kesejahteraan sosio-ekonomi yang berpanjangan.

“IIiBF melalui program ini menyokong agenda strategik UIAM berkaitan dengan kelestarian.

“IIiBF sebagai pusat kecemerlangan utama pendidikan dan penyelidikan dalam perbankan serta kewangan Islam berbangga dengan kerjasama ini,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram