Sebahagian daripada orang ramai mengisi air yang disediakan oleh syarikat Pengurusan Air Selangor selepas gangguan bekalan air di sekitar Subang Jaya, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

LIMA kawasan di Hulu Langat, Selangor bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual mulai pukul 9 malam 28 September depan.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. berkata, gangguan tersebut akan berlarutan selama dua hari dengan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 6 pagi, 30 September 2021.

Air Selangor memaklumkan, lima kawasan tersebut merangkumi Balakong; Green Park Resident; Bandar Sungai Long (SL 6, 9, 10 dan 11); Taman Bukit Palma dan Bandar Mahkota Cheras (Jalan Putera, Jalan Puteri, Jalan Bendahara dan Jalan Mahkota).

gangguan berjadual itu berikutan kerja penyelenggaran pelaksanaan kerja-kerja penggantian injap.

“Kerja-kerja penggantian injap ini dilakukan di tiga lokasi iaitu Taman Sri Indah Balakong, Inlet Cheras dan di hadapan pencawang pembahagi utama The Mines.

Baca artikel berkaitan: Gangguan air: 94 lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas

“Kerja-kerja ini bagi memastikan sistem pengagihan bekalan air berada pada tahap yang terbaik demi keselesaan pengguna di masa hadapan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Sehubungan itu, Air Selangor menasihatkan pengguna di lima kawasan terbabit untuk menyimpan air secukupnya bagi kegunaan seisi rumah dan memastikan semua bekas simpanan ditutup dengan selamat.

“Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

“Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre dalam laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” jelasnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram