Oleh DATUK SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN

SELAMAT Hari Malaysia! Sedikit perkongsian. Pagi semalam saya bersarapan di sebua restoran berdekatan kediaman, ramai pelanggan berbilang kaum dan agama, semua mengambil kesempatan bersarapan secara dine in selepas SOP dilonggarkan, terima kasih banyak Pak Long!

Tiba-tiba dalam keasyikan semua menjamu selera tiba-tiba lagu Negaraku dialunkan secara spontan, lantas semua pelanggan tidak kira bangsa, agama terus bangun tanda hormat sambil sama-sama menyanyikannya, perasaan saya? Sudah tentunya bangga! terharu! dan bersemangat!

Cuma kita imbas sedikit sejarah penubuhan negara bangsa ini, bermula dengan “Perikatan” dan akhirnya “Barisan Nasional”, negara kita telah melalui pelbagai proses, gembira, sedih dan menyakitkan, permuafakatan ini kekal menjadi jambatan persefahaman yang utuh dan padu sehinggalah 9 Mei 2018.

Shaiful Hazizy Zainol Abidin

Saya kira tidak perlu melemparkan pelbagai tuduhan terhadap BN sebagai punca kekalahan, tidak perlu juga kita bina atau cari “rumah” lain utk menggantikan rumah besar BN, pada hemat saya cukup dgn hanya baiki, tambah baik dan buat perubahan ikut perkembangan semasa.

Tidak perlu juga kita puji kawan baru secara berlebihan sehingga kebaikan dan jasa kawan lama lupakan begitu saja. Di sini saya ingin buat beberapa cadangan untuk memberi nafas baru kepada BN.

a) Keanggotaan – Wujudkan “direct membership” ataupun keahlian terus untuk BN. Bagi saya ini lebih memberikan pilihan lebih dinamik untuk rakyat dan orang muda. Kita tak boleh menafikan bahawa ada segelintir rakyat yang tidak selesa untuk berada di khemah besar UMNO, tapi masih percaya kepada semangat pengasas negara bangsa ini ditubuhkan ataupun “the spirit of our founding fathers” di mana keanggotaan terus dilihat dapat memberi sedikit nafas baru bagi BN untuk terus relevan dan dihargai

b) Perubahan struktur – imej ‘abang besar’ BN bukanlah satu imej yang menguntungkan buat UMNO pada waktu dan ketika ini. Ia dijadikan modal politik oleh pihak tertentu untuk menggambarkan pembulian politik dan ketidakadilan.

UMNO tidak boleh dibelenggu oleh imej ini secara berterusan, bagi saya perlu ada keazaman politik dan sedikit pengorbanan untuk terus memberi nafas baru kepada BN.

Saya ingin menyarankan agar beberapa jawatan pentadbiran eksekutif seperti Timbalan Pengerusi, Ketua Penerangan dan Bendahari diberi kepada kalangan pemimpin parti komponen bagi menamatkan imej “dominasi” dan keputusan yang bakal dibuat oleh organisasi memberi gambaran ia menguntungkan satu pihak sahaja. Ini adalah anggapan umum pada ketika ini dan iasama sekali perlu diubah.

c) Berani tampilkan tokoh muda (undi 18) – Saya berpandangan BN sekarang berada di dalam kedudukan terbaik menjadi “jaguh” pilihan anak muda. Wujudkan beberapa jawatan penting yang menonjolkan “aset” masa hadapan BN baru yg lebih segar dan bertenaga.

Dan paling penting bebas daripada bebanan politik lampau, tidak keterlaluan sekiranya BN baru wujudkan peranan “jurucakap” untuk menampilkan imej muda dan segar ini.

d)Kembali beri tumpuan ke kawasan bandar – keputusan untuk pasrah dan terus menerus kalah di kawasan bandar adalah satu pendirian yang sama sekali tidak tepat.

Kalau dalam sebuah ilmu peperangan yang saya baca, “the best defence is an offence” pertahanan yg terbaik adalah dengan menyerang. Kita tidak harus membenarkan musuh kita terus menerus mengukuhkan kedudukan.

Harus diingat komposisi dan sifat pengundi di bandar adalah jauh berbeza daripada kawasan luar bandar. Struktur ekonomi, pendidikan dan pendedahan isu adalah jauh berbeza. Dalam situasi ini penonjolan dan muafakat BN baru dalam konteks “Keluarga Malaysia” adalah amat diperlukan.

e) Bengkel penjenamaan baru BN – saya masih boleh menyoroti sedikit kenangan sewaktu menjadi Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Malaysia di mana boss saya “Tall Dark and Handsome” ada menganjurkan sebuah bengkel khas bagi mencari titik sentuh anak muda yang dikenali sebagai  “BN Youth Lab”.

Di dalam makmal ini pesertanya majoriti datang daripada latar belakang “non-partisan” serta mewakili pelbagai latar belakang pemegang taruh tertentu. Hasilnya banyak pendekatan dan input baru telah kita dihasilkan, 80% input ini dijadikan agenda utama perbentangan bajet untuk anak muda oleh Perdana Menteri.

Asas daripada cadangan ini adalah BN perlu wujudkan sebuah platform “ad hoc” bagi menerima idea baru di luar halaman politik untuk kembali mewujudkan faktor “wow” yang telah lama hilang.

Penjenamaan baru BN yg bakal dibentuk nanti hasil daripada bengkel ini bukan semata-mata pertukaran logo dan warna, lebih daripada itu ia perlu melibatkan “transformasi” keseluruhan untuk menjadikannya kembali relevan dan tempat berteduh besar rakyat yang memerlukan pembelaan.

Kesimpulannya, di samping melaksanakan pendekatan yang tuntas dan radikal, kepimpinan UMNO perlu mendisiplinkan pemimpinnya gemar menggunakan saluran media untuk menaikkan rating politik diri sendiri.

Nak naikkan rating politik memang boleh dan tak jadi kesalahan, namun bercakaplah benda yang benar dan boleh dimanafaatkan untuk parti. Bagi saya BN masih relevan dan perlu dijenamakan semula, namun proses ini perlu dilaksanakan oleh pemimpin yang berjiwa besar serta punyai keberanian merealisasikan jiwa sebenar “Keluarga Malaysia”.

  • Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok.Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.