BAHAN buangan kimia yang dilupuskan secara haram sehingga menyebabkan pencemaran di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Selasa lalu dipercayai dibawa dari lokasi lain.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Ayob Khan, siasatan berhubung kejadian itu masih berjalan dengan buat masa ini sembilan suspek termasuk pemilik premis telah pun ditahan.

Beliau berkata, kesemua suspek masih direman dengan soal siasat dilakukan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Setakat ini masih kekal sembilan suspek termasuk pemilik premis telah ditangkap. Kita masih bantu pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), mungkin akan ada tindakan susulan sebab kita percaya lori membawa bahan kimia terbuang itu diambil dari lokasi lain.

“Siasatan masih berjalan, kalau ada maklumat tambahan kita akan beritahu tetapi setakat ini baru satu premis kita serbu.

“Kita perlu buat operasi susulan. Insya-Allah kita akan kenal pasti dengan pihak JAS daripada mana bahan-bahan buangan ini dibawa,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Pencemaran Kg Baru Sri Aman:9 ditahan,tiada gangguan bekalan air

Dalam kejadian malam Selasa lalu, seramai empat penduduk sesak nafas dan terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan manakala lebih 100 lagi terpaksa dipindahkan selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang melawat kampung terbabit pada petang Rabu dilaporkan berkata, sembilan suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Ia membabitkan lima warga tempatan serta empat warga asing termasuk pemilik premis.

Kes disiasat di bawah seksyen 34B yang mana pesalah boleh dikenakan hukuman penjara mandatori maksimum 5 tahun dan denda sehingga RM500,000, atau kedua-duanya sekali selaras peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurut Tuan Ibrahim, JAS sedang melengkapkan siasatan bagi tujuan pendakwaan terhadap pihak yang bertanggunjawab di atas pencemaran sisa buangan terjadual itu.

Keputusan analisis bahan kimia itu pula dijangka diperolehi minggu ini sebelum pendakwaan dilakukan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram