INDIVIDU yang membuat permohonan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) boleh mula membuat semakan status kelulusan mulai esok di portal https://bpr.hasil.gov.my.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran rayuan Bantuan Prihatin Rakyat itu akan melibatkan hampir 200,000 penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM240 juta.

Kata beliau, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan rayuan BPR pada penghujung September 2021 bersekali dengan penerima bayaran BPR Fasa 3.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan telah mengemaskini data golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang layak menerima BPR melalui permohonan rayuan dibuka pada 15 sehingga 30 Jun lalu.

“Permohonan rayuan ini telah diverifikasi semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan inisiatif bantuan tunai ini dapat disalurkan dan dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar layak.

“Kerajaan berharap bantuan tunai yang secara keseluruhannya berjumlah RM17.1 bilion sehingga hujung tahun ini boleh membantu Keluarga Malaysia menampung dan menguruskan perbelanjaan penting mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Bantuan Prihatin Rakyat ditambah, Moratorium automatik 3 bulan

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut memberi peluang kepada golongan yang lulus rayuan BPR menyertai program Jaringan Prihatin.

Oleh itu, katanya, tarikh akhir pendaftaran dan penebusan program itu akan dilanjutkan sehingga 30 September 2021.

Tengku Zafrul memaklumkan, pelanjutan ini juga bertepatan dengan situasi semasa dan memberi ruang serta masa kepada mereka yang perlu mendaftar dan menebus telefon mereka di kedai secara fizikal.

“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan program yang disediakan menepati kehendak golongan sasar dan memudahkan pembelajaran anak-anak golongan B40 mendapatkan pakej telekomunikasi atau pun pakej peranti mudah alih.

“Sokongan ini diharapkan dapat menjamin pembelajaran yang lebih lancar dan kondusif,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram