KISAH ini sudah lama berlaku di kampung saya, lebih 15 tahun lalu. Ketika itu saya masih remaja, baru berusia 15 tahun.
Saya ingat lagi, malam Sabtu dalam pukul 8.00 lebih, saya mengayuh basikal menuju ke rumah seorang rakan bernama Nordin.
Saya ke rumah Nordin kerana sebelum itu pada waktu siangnya, kami sudah berjanji akan bertemu. Maklumlah ketika itu usia masih remaja, tambahan pula sedang cuti sekolah. Jadi malam-malam mingu begitu, selalunya kami akan ronda-ronda sekitar kampung di Batu Kurau, Perak, dengan berbasikal.
Ketika baru beberapa meter mengayuh, saya terfikir untuk menggunakan jalan pintas. Jika menggunakan jalan besar, jarak ke rumah Nordin lebih satu kilometer. Tapi kalau guna jalan pintas, lebih dekat iaitu kurang daripada 600 meter.
Jalan pintas itu jarang digunakan penduduk kampung pada waktu malam kerana terpaksa melalui kawasan perkuburan yang gelap-gelita. Di sekelilingnya pula tiada rumah. Hanya kelihatan batu nisan yang berceracak.
Sebab nak cepat sampai ke rumah Nordin, saya gunakan jalan pintas itu. Ketika melalui kawasan kubur, hati saya mula berdebar. Cerita-cerita menakutkan yang pernah didengar mula bermain di dalam kepala. Gambaran hantu juga mula terbayang.
Nasib baik juga malam itu, cahaya bulan memancar terang menerangi jalan. Tidaklah suasana terlalu gelap.
Dalam takut-takut itu, saya gagahkan juga kaki mengayuh. Ah, orang yang dah mati tak akan hidup balik. Lagipun saya dah biasa guna jalan pintas ini, tak pernah lagi jumpa hantu. Begitulah kata-kata saya dalam hati nak sedapkan perasaan sendiri.

Tiba di kawasan kubur, kayuhan saya semakin perlahan kerana jalan tersebut mendaki bukit. Bukitnya pula agak tinggi.
Tetapi kemudian, tiba-tiba basikal yang saya kayuh menjadi berat. Terasa seperti saya sedang membawa seseorang yang berbadan besar di belakang.
Dalam masa yang sama, bulu roma saya mula terpacak. Kepala saya terasa seolah-olah kembang kecut. Meremang saya jadinya.
Ketika itu saya terus teringat orang tua-tua berpesan sekiranya rasa begitu, kemungkinan ada ‘sesuatu’ yang hampir dengan kita. Tetapi lamunan itu saya buang jauh-jauh. Saya kuatkan semangat.
Anehnya, basikal tidak semena-mena pula semakin menghimpit ke tepi seperti ada orang menolak basikal yang saya tunggang itu. Saya cuba mengawalnya supaya terus berada di tengah lorong, tetapi gagal. Basikal tetap memberat ke sisi jalan.
Kemudian, basikal saya kayuh itu tiba-tiba saja berhenti betul-betul di tepi jalan kawasan kubur. Sampai di situ, ia tidak boleh bergerak lagi walaupun saya cuba mengayuhnya sekuat hati.
Saya pandang ke sisi. Dalam cahaya bulan yang terang menyuluh, saya dapat melihat ada sekujur tubuh manusia di atas sebuah kubur yang tanahnya masih merah. Kubur tersebut terletak di bawah dua batang pokok pinang.
Saya lihat makhluk yang berbungkus dengan kain kapan itu sujud menyembah bumi seperti orang sedang sembahyang. Lebih aneh, makhluk itu begitu besar. Jasadnya bukan seperti saiz tubuh badan manusia biasa.
Tiada apa lagi yang terbayang di kepala saya, kecuali…!!!
Saya yang ketakutan, cuba mengayuh basikal sekuat hati. Tapi basikal saya hanya bergerak perlahan seperti ada orang yang menariknya dari belakang. Apa lagi, saya terus berlari meninggalkan basikal di tepi kubur. Segala benda di hadapan saya rempuh. Semak samun saya redah kerana terlalu takut.
Sampai di rumah Nordin, saya menjerit memanggilnya. Saya terbaring di atas anjung rumahnya. Saya tidak mampu berkata walau sepatah pun. Ketika itu seluruh anggota badan saya terasa lemah. Saya menggigil ketakutan.
Apabila Nordin dan ibunya keluar, mereka terkejut melihat saya terbaring dengan muka pucat dan tidak mampu bercakap.
“Kau ni kenapa?” berkali-kali ibu Nordin bertanya. Tapi lidah saya kelu tidak mampu menjawab.
Hampir 15 minit begitu, barulah saya kembali pulih. Segala yang berlaku sebentar tadi, saya ceritakan kepada Nordin dan ibunya. Mereka juga terkejut mendengar cerita saya itu.

Kemudian, ibu Nordin yang saya panggil Mak Som, bercerita. Katanya sebelah pagi tadi, penduduk kampung mengebumikan jenazah seorang ustaz yang meninggal dunia pada malam Jumaat. Kuburnya terletak betul-betul di bawah pokok pinang di tepi jalan!
Ketika itu baru saya teringat. Memang benar, jenazah ustaz itu dikebumikan pagi tadi, tapi saya tidak sempat menziarahinya.
Ustaz tersebut pula saya kenal, merupakan seorang yang baik budi pekertinya. Arwah juga selalu mengajar agama kepada orang-orang tua di masjid kampung kami.
Tapi, bukan soal kubur ustaz itu persoalanannya. Apa yang menjadi tanda tanya saya sehingga sekarang, makhluk apa yang sujud di atas kubur ustaz itu?
*Pengalaman di atas diceritakan oleh Muhd Saiful dari Ipoh, Perak.
___________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare