Sultan Ibrahim Iskandar - Foto FACEBOOK Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) ekoran keengganan kementerian itu menyemak semula syarat ketat program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini.

Sultan Ibrahim dalam kenyataan dimuat naik ke akaun Facebook rasmi baginda, bertitah akan membangkitkan perkara itu secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh terdekat.

Titah Sultan Ibrahim, Johor merupakan antara destinasi popular MM2H selain sumbangan program berkenaan kepada pendapatan negeri.

Sultan Johor bertitah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan akan menyemak semula syarat ketat program MM2H.

“Namun, apa yang kita dengar di Parlimen hanyalah janji untuk mempertimbangkan permohonan peserta MM2H berdasarkan kes demi kes dan ini adalah di luar jangkaan serta sesuatu yang mengecewakan.

“Jika keselamatan adalah justifikasi utama untuk kriteria baharu maka pihak KDN hanya perlu membatalkan visa pemegang pas MM2H yang didapati melakukan kesalahan dan bukannya melibatkan semua peserta,” titah Sultan Ibrahim hari ini.

Baca artikel berkaitan: Sultan Johor nafi keluar kenyatan seperti disebar dalam poster politik

Sultan Ibrahim bertitah, keputusan dilaksanakan KDN itu hanya akan membawa implikasi negatif memandangkan program MM2H sebelum ini membawa kesan positif kepada ekonomi negara.

“MM2H merupakan program yang memberi kesan baik kepada ekonomi Malaysia dan begitu juga kepada rakyat serta kerajaan.

“Jika sekarang kita mengenakan syarat ketat hingga memberi kesan kepada peserta, dikhuatiri kelak akan menjejaskan imej negara di mata dunia.

“Saya berharap perkara ini akan mendapat perhatian serta pertimbangan dari kerajaan tanpa membuat keputusan drastik terhadap program ini,” titah Sultan Ibrahim.

Selasa lalu, Hamzah semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berkata, kerajaan hanya akan menerima peserta baharu program MM2H yang benar-benar sah, berkualiti tinggi dan dapat memberi sumbangan yang positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Kata beliau, ia adalah dasar baharu kerajaan membabitkan golongan tersebut.

Bagaimanapun, Hamzah berkata, peserta MM2H sedia ada boleh dipertimbangkan untuk mendapat kelonggaran daripada memenuhi dasar semasa yang ditetapkan.

Katanya, ia termasuk keperluan seperti pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50 peratus dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak, pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta, pendapatan luar negara sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan dan lain-lain keperluan syarat yang ditetapkan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram