Pelakon Syatilla Melvin mengumumkan bahawa dirinya kini sedang hamil buat kali yang keenam.

Khabar gembira tersebut dikongsi sendiri oleh Syatilla menerusi satu perkongsian di akaun Instagram miliknya.

Menurut Syatila, dia bersyukur dengan rezeki untuk menimang cahaya mata ketiga ini.

“Kali ke-6 syukur alhamdulillah… Baru plan nak pakai iud tau tak! Rezeki Allah nak bagi.

“Hari-hari duk mintak Allah murah rezeki, murah sungguh-sungguh Allah bagi. Doakan kandungan bertahan sampai cukup 9 bulan,” ujarnya.

Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan rakan-rakan artis. Rata-rata mengucapkan tahniah dan mendoakan agar dipermudahkan segala urusan.

Syatila mendirikan rumah tangga dengan pelakon Shaheizy Sam pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, 4, dan Sarima Samheizy yang kini berusia setahun.

Sebelum ini Syatila pernah tiga kali mengalami keguguran. Kali pertama, sebelum kehadiran Syeriv, kedua sebelum Sarima dan terbaharu pada April lalu.