Sultan Ibrahim Sultan Iskandar: GAMBAR: Facebook rasmi Sultan Ibrahim

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa kerajaan Persekutuan supaya menggugurkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan anak-anak yang dilahirkan warganegara Malaysia di luar negara untuk diberi kerakyatan secara automatik tanpa mengira ibu atau bapa anak tersebut.

Sultan Ibrahim bertitah, semua anak rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara mesti diberikan hak kerakyatan negara ini.

Titah Sultan Ibrahim, kerajaan tidak wajar menolak kerakyatan kepada mereka yang berhak lebih-lebih lagi apabila Malaysia kini berdepan masalah serius kehilangan orang muda yang berbakat dan berkelayakan.

“Kesucian mahkamah mesti dipelihara. Mengapa ibu warganegara Malaysia yang melahirkan di luar negara perlu alami diskriminasi? Ini adalah hak asasi setiap anak yang dilahirkan, tidak kira ibu atau bapanya yang merupakan warganegara Malaysia.

“Ada sesuatu yang tidak kena apabila pihak bapa dan ibu dipandang secara berbeza daripada sudut undang-undang dalam soal berkaitan kerakyatan anak mereka. Adakah ibu dan bapa mempunyai taraf kerakyatan Malaysia yang berbeza?

Baca artikel berkaitan: Parlimen jadi bahan jenaka jika ‘kluster mahkamah’ dilantik Timbalan Speaker – Aziz Bari

“Inilah masanya untuk menerima mereka dan menerapkan semangat Malaysia dalam diri mereka, bukannya menolak dan menghalau mereka. Dasar seperti ini adalah tidak betul,” titah Sultan Ibrahim dalam kenyataan dimuatnaik ke Facebook rasmi baginda.

Sultan Ibrahim turut bertitah, semangat Keluarga Malaysia yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu diterjemahkan dengan Peguam Negara segera menarik balik rayuan ke atas keputusan mahkamah itu.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangan rakyat asing, berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Hakim Datuk Akhtar Tahir, yang membuat keputusan itu dalam penghakimannya berkata, perkataan ‘bapa’ dalam jadual kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.

Beliau membuat keputusan itu ketika membenarkan saman pemula, difailkan bagi menuntut perisytiharan anak wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan rakyat asing secara automatik layak memperoleh kewarganegaraan walaupun mereka dilahirkan di luar negara.

Bagaimanapun, media melaporkan, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memaklumkan, kerajaan memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan itu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram