Makanan sunnah tiada dalam islam

Makanan yang disebut atau dimakan oleh Rasulullah s.a.w. menerusi hadisnya atau makanan yang disebut Allah dalam al-Quran mula mendapat tempat dalam masyarakat.

Ia dikatakan makanan terbaik dan paling berkhasiat dalam merawat apa jua penyakit termasuklah covid 19. Antara makanan yang disebut-sebut sebagai ‘makanan sunnah’ adalah madu, kismis, kurma, buah zaitun, buah tin, habbatus sauda, delima, za’faran dan sebagainya.

Disebabkan itu, mulalah timbul berjenis produk makanan tambahan yang berlabelkan ‘makanan sunnah’ bagi merawat pelbagai masalah dan penyakit. Berbekalkan beberapa potong hadis dan ayat al-Quran serta dipromosikan oleh ‘ustaz’ tertentu, produk berkenaan mula ‘meletop’ dalam kalangan masyarakat hinggakan mendapat permintaan tinggi.

Apa yang pasti, apabila dijadikan produk oleh ahli perniagaan tertentu, sudah tentu ia bukan sebenar-benar makanan seperti yang Rasulullah s.a.w. makan, namun ianya adalah campuran dari beberapa bahan lain bagi menambahkan nilai estetikaproduk.

Jika sebelum ini, kebanjiran produk makanan tambahan seumpama ini tidak mendatangkan ragu-ragu pada masyarakat malah disambut dengan baik, tetapi setelah beberapa tindakan melampau peniaga yang jelas menaguk di air yang keruh, ia semakin mencemuhkan.

Manakan tidak, mereka bukan sekadar berniaga, tetapi turut mengambil peluang dengan meletakkan harga yang tinggi bagi barangan yang dilabelkan ‘makanan sunnah’. Walau bagaimanapun, apakah dengan menggunakan produk sebegitu mampu memberi impak maksima kepada kesihatan atau sekadar kelegaan atas sandaran nabi Muhammad s.a.w.?

Oleh hal demikian, mungkin ingin mengelakkan lebih banyak berlaku kekeliruan atau eksploitasi atas nama sunnah, maka Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)  selaku badan yang berautoriti mengesahkan tidak membenarkan mana-mana produk yang menggunakan ayat rukyah atau istilah makanan sunnah pada perlabelan, pengiklanan atau promosi.

Justeru, bagi mendapatkan lebih penjelasan mengenai isu hangat ini, Al Islam mendapatkan pandangan Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan Hadis, Universiti Malaya  Dr. Khadher Ahmad bagi menguraikan lebih lanjut berdasarkan dalil-dalilnya.

Menurut Dr. Khadher, sebenarnya tidak ada istilah makanan sunnah dalam Islam bahkan merujuk kepada istilah bahasa arab, tidak ada istilah khusus yang dapat menggambarkan istilah pemakanan sunnah tersebut. Sebaliknya istilah itu hanya popular dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Memang benar makanan-makanan yang didakwa ‘makanan sunnah’ itu disebut oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis-hadis sahih berdasarkan beberapa faktor, tetapi ia bukan keperluan apatah lagi kewajipan untuk memakannya. Tidak pula berdosa jika tidak mengambilnya. Ia sekadar ada kelebihan berbanding makanan lain.

Benarkah campuran Makanan sunnah yang dijadikan suplemen untuk manfaat kesihatan?

“Masyarakat kita sebenarnya pelik, mereka hanya terdedah dengan apa yang sering orang cakap-cakap tetapi tidak mengambil inisiatif sendiri untuk belajar memahami dengan lebih mendalam sesuatu ilmu.

Sebagai contoh, mereka hanya mengenali makanan seperti kismis, kurma, habbatus sauda, zaitun, tin dan sebagainya yang sering dijadikan bahan untuk produk makanan sunnah, tetapi apabila ditanya berkenaan buah labu air, sup daging yang dihiris halus, timun, halia, dan pisang adakah makanan yang disebut dalam al-Quran dan sunnah, ramai mengatakan itu bukan makanan sunnah dan bukan makanan yang dimakan oleh Rasulullah s.a.w.

Ini menunjukkan kebanyakan masyarakat tidak mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan makanan sunnah, tetapi mereka hanya terpengaruh dengan iklan dan promosi produk.”

Lagipun, Dr. Khadher turut memberitahu Rasulullah s.a.w. banyak menyebut makanan-makanan itu di dalam hadisnya kerana ia merupakan makanan yang terdapat di negara Arab. Sebagaimana Ibn Taimiyyah apabila menyebut tentang pakaian dan makanan yang mengikut sunnah menjelaskan

“Maka, bererti sunnah Rasulullah s.a.w. dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri”

Makanan Asal Bukan Campuran

Selain itu, makanan itu juga disebut sebagai bahan asal, bukannya campuran seperti produk-produk yang diniagakan sekarang ini. Seperti contoh, Rasulullah s.a.w. menyebut

“Tidak ada kelaparan penghuni rumah yang di dalamnya memiliki at-tamr (kurma kering)” HR Muslim.

Lafaz hadis itu menunjukkan kurma itu secara zahirnya atau buah kurma yang betul, bukannya campuran seperti yang ada pada hari ini iaitu jus kurma, susu kurma, minuman sunnah 5 dalam 1, dan sebagainya.

Jika bahan itu dicampur, ia masih perlu dapatkan nasihat doktor atau perubatan moden bagi membuktikan khasiatnya baik untuk kesihatan. Bukannya menerima sahaja maklumat yang diberikan oleh peniaga tanpa ada sebarang bukti kajian ke atasnya.

Kajian itu bukan menolak atau menafikan apa yang disebut dalam al-Quran mahupun hadis, tetapi ia sebagai bukti kepada khasiat produk itu ke atas kesihatan. Tambahan pula, apa yang disebut oleh Rasulullah s.aw. adalah kebanyakannya secara umum, ianya tidak semestinya bertepatan dengan masalah atau penyakit yang kita alami.

Apatah lagi jika produk itu telah dicampur pelbagai bahan lain, tetapi menggelarkan sebagai makanan sunnah hanya kerana ada sedikit campuran makanan itu adalah sangat tidak bersesuaian.

Oleh itu, produk sedemikian perlulah dibuat kajian secara saintifik, teliti dan menyeluruh. Ia perlu dibuktikan kesahihan khasiat dan manfaatnya untuk kesihatan.

Jelas Dr. Khadher lagi, ia bukanlah menafikan keistimewaan makanan-makanan yang disebut dalam al-Quran mahupun hadis, namun ia wajar dijadikan garis ukur kerana percampuran pelbagai bahan dan ramuan lain juga perlu diperhalusi. Kemungkinan dengan campuran ini, nilai nutrisi dan komposisi kimia makanan tersebut turut berubah berbanding bahan asal itu sendiri.

Selain itu, kajian itu dibuat bagi mengelakkan penipuan ke atas sunnah Rasulullah s.a.w. semakin berleluasa. Bukan sahaja Muslim, tetapi orang bukan Islam yang gagal memahami sunnah dengan baik pun banyak mengeluarkan produk ‘makanan sunnah’ ini kerana mereka mempunyai modal yang cukup dan menyedari akan permintaan tinggi di negara ini.

Istilah makanan sunnah hanya diada-adakan untuk melariskan produk

Jadi, apabila kita meminum atau memakan makanan tambahan tersebut, ianya tidak berkesan seperti yang diharapkan, ia dibimbangi pelanggan menyalahkan sunnah dan lebih teruk menyangkal kalam Rasulullah s.a.w. sedangkan sunnah tidak pernah menipu, tetapi manusia yang sering terpesong.

Peniaga juga perlu ingat, tidak semestinya bahan itu boleh dicampur sesuka hati asalkan rasanya sedap. Ini kerana antara makanan yang ditegah oleh Rasulullah s.a.w. dari mencampurkannya adalah kurma dan kismis. Ia seperti yang diriwayatkan dari Abu Qatadah r.a, dia berkata,

“Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jangan kalian membuat minuman dengan mencampurkan kurma yang hampir matang dengan kurma yang sudah matang. Jangan kalian buat minuman dengan mencampurkan kismis dan kurma. Tetapi pisahkanlah keduanya pada tempatnya masing-masing” HR Bukhari.

Para ulama’ menyatakan bahawa sebab timbulnya hadis larangan campuran ini ialah kerana orang Arab Jahiliyah menggunakan teknik campuran kurma dengan kismis bagi menghasilkan arak secara mudah dan murah di rumah-rumah mereka.

Jadi, peniaga atau pengeluar produk harus berhati-hati dan cermat dalam menghasilkan produk dan diingatkan agar tidak bersandarkan kepada nabi Muhammad s.a.w. semata-mata, tetapi kajilah produk anda bagi kesejahteraan umum.

Sunnah Nabi Bukan Hanya Makanan

Dalam konteks hadis juga, perbincangan tentang makan dan pemakanan sangat luas. Ia bukan sekadar menyenaraikan makanan yang dimakan oleh Baginda s.a.w. tetapi lebih utama adalah  berkaitrapat dengan adab-adab ketika makan dan aspek pemilihan makanan yang halal.

Oleh hal demikian, jangan menyempitkan pemikiran hanya kepada makanan yang dimakan oleh Rasulullah s.a.w. tetapi meninggalkan segala praktikal yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. yang dilakukan sebelum, semasa dan selepas makan. Sedangkan itu lebih utama!

Makan dengan mengikut sunnah Baginda s.a.w. juga boleh menjaga kesihatan dan beroleh pahala bukan semestinya makan makanan sunnah.

Bahkan, jika kita makan nasi bersama lauk pauk sekalipun, ia bukan bermakna kita menolak sunnah. Jika makan beserta mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. seperti membaca bismilillah, makan dengan tangan kanan dan makan tidak berlebihan hingga membazir, itu juga dikira sudah dikira melaksanakan sunnah Nabi s.a.w.

Harus juga diingatkan bahawa di dalam Islam, tidak ditetapkan jenis makanan yang perlu diambil, sebaliknya yang ditekankan ialah makanan yang halal lagi baik. Apa sahaja makanan boleh diambil asalkan menepati makanan halal lagi baik dan tidak hanya tertumpu kepada makanan kegemaran Rasulullah s.a.w. sahaja.

Tetapi kita tidak boleh menolak bahawa makanan yang disebut oleh al-Quran dan as-Sunnah itu adalah makanan yang terbaik dan mempunyai kelebihan. Akan begitu, nasihat Dr. Khadher, jika ingin benar-benar mengikuti sunnah, ambillah makanan yang asal, bukan campuran. Ianya sudah jelas memang tepat dengan apa yang disebut oleh Baginda Nabi s.a.w. Wallahu a’lam

___________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram