anak kencing tilam basah

Masalah anak kencing malam sehingga tilam basah ataupun air kencing terkena karpet atau sofa memang tidak dapat dielakkan ibu bapa yang punya anak kecil.

Namun amat penting untuk ibu bapa tahu bagaimana cara membersihkannya agar bebas daripada najis dan tidak mendatangkan masalah untuk mengerjakan ibadah.

Menurut perkongsian Zuraila Mohd Noor, perkara pertama yang harus dilakukan ialah melalukan air ke atas kesan najis menggunakan air mutlak tanpa sebarang campuran sabun. Kemudian lap kesan tadi sehingga kering.

Ikuti perkongsiannya untuk manfaat bersama.

“Sambungan pasal air kencing anak. Ada yang tanya macam mana kalau anak kencing atas tilam, sofa, kusyen kereta, karpet dan seangkatannya.

Yang ni kita sedia maklum kebanyakkan jenis menyerap air bukan macam lantai rumah. Konsep nak membersihkan masih sama,

1. Hilangkan ain najis. Fizikal najis yang kita nampak atau bau atau rasa.

2. Lalukan air ke atas kesan najis. Air mutlak ya jangan pula campurkan air dengan softener, sabun atau sebagainya.

Kena sedia kan bahan untuk hilangkan ain najis sama ada tisu, kain, vacum atau apa saja. Yang paling senang kita nak capai selalunya tisu atau kain kan.

Ambil tisu lap air kencing anak. Selagi tisu basah selagi itu maknanya ada najis. Lap lagi ulang banyak kali sampai kita rasa tisu atau kain yang kita gunakan dah tak basah dengan najis.

Bila dah yakin ambil air lalukan atau curahkan atau jiruskan ke atas tempat yang anak kencing tadi. Kalau jenis tilam atau sofa atau kusyen kereta jenis tak menyerap air boleh ambil satu bekas letak dibawah untuk menadah air yang akan menitik.

Kalau jenis yang memerangkap air tak apa biarkan air terperangkap dibahagian dalam yang penting permukaan dikira suci dan bersih dan bebas najis. Sebab kita tak pikul tilam atas belakang bila nak solat.

Bukan lah tak boleh nak gunakan sabun masa mencuci. Boleh bagi nak hilangkan jika ada bau. Tapi jangan campurkan sekali dengan air sebab syarat nak mensucikan najis ialah air suci lagi menyucikan.

Cara salah yang biasa orang buat,

Anak kencing atas tilam terus keringkan dan semburkan pewangi untuk hilangkan bau.

Anak kencing atas tilam terus curahkan air ke atas nya tanpa hilangkan ain najis dahulu.

Anak kencing atas tilam dibiarkan kering tanpa dicuci.

Anak kencing atas tilam bawa tilam jemur tengah panas tanpa cuci.

Bila ambil wudhuk tangan terpegang tilam yang bernajis dan bawa najis ke dalam solat.

Bila travel selesai ambil wudhuk terpegang kusyen kereta bernajis dan bawa najis ke dalam solat.

Bila ambil wudhuk terpijak karpet yang ada najis dan bawa najis ke dalam solat.

Ada yang cakap,

” Kalau saya angkat saja terus masuk bilik air cuci. “

Ya. Terpulang atas diri sendiri. Tapi keadaan setiap orang tak sama. Ada orang ada punca air yang terhad. Ada orang duduk rumah tinggi tak ada halaman. Ada orang duduk rumah kos rendah yang bilik air cuma muat badan sendiri saja. Islam sediakan solusi yang sesuai dengan semua orang.

” Saya basuh ulang tiga kali. Lagi suci lagi menyucikan. “

Ya. Juga terpulang kepada diri sendiri. Kalau ain najis dah dihilangkan dengan sekali ia dah dikira suci. Kalau ain najis belum hilang dengan sekali boleh ulang sehingga ain najis hilang. Kalau nak ulang sampai sepuluh kali pun tak ada masalah tapi membawa kepada pembaziran pula.

Dalam hal ini, Imam Al Nawawi telah menukilkan pendapat Imam Syafie bahawa,

لو أحمى حديد ثُمَّ صَبَّ عَلَيْهَا سُمًّا أَوْ غَسَلَهَا فِيهِ فَشَرِبَتْهُ ثُمَّ غُسِلَتْ بِالْمَاءِ طَهُرَتْ لِأَنَّ الطَّهَارَاتِ كُلَّهَا إنَّمَا جُعِلَتْ عَلَى مَا يَظْهَرُ فِيهِ لَيْسَ عَلَى الْأَجْوَافِ

Sekiranya dipanaskan sekeping besi dan kemudian besi tersebut disiram dengan racun (najis) atau dibasuh dengannya. Dan kemudian, najis tersebut telah meresap masuk ke dalam besi tersebut. Kemudian, besi tersebut dibasuh dengan air, maka ia kembali menjadi suci kerana kesucian itu adalah berdasarkan apa yang zahir (dilihat) dan bukannya pada apa yang ada di dalam rongga (tidak nampak).

Islam itu mudah jangan disusahkan dan jangan pula dipermudah mudahkan.

Wallahuaklam.”

Sumber : Zuraila Mohd Noor