Penyanyi asal Indonesia, Yuka Kharisma kini muncul dengan sebuah lagu baharu berjudul Melihatmu Bahagia di bawah naungan Rocketfuel Entertainment.

Lagu bergenre balada sinematik ini adalah nukilan Yuka sendiri bersama pemuzik dan komposer Ahmad Jeffny yang merupakan suaminya.

Menurut Yuka, Melihatmu Bahagia adalah sebuah lagu yang sangat istimewa kerana dedikasikan khas buat ibu tercinta.

“Melihatmu Bahagia adalah dedikasi serta penghargaan saya terhadap ibu. Ia menceritakan tentang betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dalam membesarkan anaknya.

“Mesej yang saya cuba sampaikan adalah supaya kita sentiasa mengingati jasa ibu kerana tak mungkin kita dapat membalasnya, dan hargailah setiap saat yang diberikan bersama.

“Selain itu, saya dan suami mahukan kelainan dari segi komposisi muzik dengan memasukkan elemen sinematik agar lebih terkesan apabila pendengar mendengarnya.

“Hampir setiap kali rakaman dijalankan pasti saya akan menangis kerana ia terlalu sedih untuk dinyanyikan,” kata penyanyi kelahiran Acheh, Indonesia ini.

Tambah Yuka, proses rakaman lagu Melihatmu Bahagia dilakukan di rumahnya sendiri dan mengambil masa sebulan untuk disiapkan.

Tentang proses rakaman, lebih lanjut tentang lagu tersebut, Yuka memberitahu Melihatmu Bahagia adalah ciptaannya sendiri yang dihasilkan pada bulan Mac lalu.

“Proses rakaman pula ia mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan dan ia telah dilakukan di kediaman saya sendiri.

“Demi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya bersama suami mengambil keputusan untuk melakukan kesemuanya di rumah,” jelasnya.

Lagu Melihatmu Bahagia boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Lirik video rasmi single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.