Bridgewater Triangle atau segitiga Bridgewater adalah sebuah wilayah yang mempunyai keluasan 520 kaki persegi di sebelah tenggara Massachussets, Amerika Syarikat.

Ia meliputi 14 kawasan iaitu kota Abington, Brockton, Rehoboth, Freetown, Norton, Bridgewater, West Bridgewater, Middleboro, Dighton, Berkley, Raynham, Easton, Lakeville, dan Taunton.

Keanehan di wilayah ini pertama kali diungkapkan oleh seorang penyelidik paranormal bernama Loren Coleman dalam sebuah bukunya berjudul ‘Mysterious America’.

Loren Coleman dan buku tulisannya.

Kononnya selama beberapa abad dahulu, wilayah ini sering dilaporkan mengalami pelbagai fenomena aneh yang tidak masuk akal. Dahulu ia sebuah tempat yang digelar ‘Hockomock Swamp’ yang bermaksud tempat yang dihuni oleh roh-roh.

Di kawasan ini boleh ditemui banyak makam-makam purba masyarakat orang asli Indian ketika era Perang Raja Philip. Kawasan ini dipercayai sebagai pusat aktiviti paranormal yang sangat aktif.

Hockomock Swamp.

Di bahagian sempadan segitiga ini pula, terdapat lagi sebuah tempat yang digelar dengan nama Dighton Rock. Di tempat ini banyak ditemui tulisan-tulisan aneh yang terukir pada batu. Tulisan-tulisan ini dipercayai berasal dari zaman peradaban Pre-Colombia dari Viking, Portugis dan Phoenician.

Persoalannya, apakah tujuan sebenar kedatangan bangsa-bangsa ini ke tanah Amerika? Ia masih menjadi tanda tanya kerana sebahagian tulisan ini masih belum dapat ditafsirkan.

Dighton Rock.

Di wilayah segitiga ini juga terdapat sebuah hutan yang digelar Freetown-Fall River State Forest. Ia merupakan sebuah kawasan hutan yang dahulunya didiami oleh penduduk orang asli Amerika dari suku Wampanoang sekitar tahun 1659.

Selepas suku orang asli ini berpindah ke tempat lain, kawasan hutan tersebut dijadikan sebagai tempat pemujaan seperti pengorbanan haiwan, tempat membunuh diri dan ritual korban yang dilakukan oleh pemuja-pemuja ilmu hitam.

Freetown-Fall River Forest, kawasan hutan yang dijadikan tempat amalan pemuja ilmu hitam.

Selama lebih kurang 300 tahun, di wilayah ini juga sering dilaporkan penampakan aneh benda terbang. Penampakan pertama dikatakan terjadi pada tahun 1760, dideskripsikan sebagai bola api.

Selain itu pada tahun 1908 hingga 1960, kemunculan objek terbang yang tidak dikenali dilaporkan muncul pada waktu siang hari. Begitu juga dengan penampakan yang dilaporkan pada tahun 1973, ketika seorang penduduk tempatan bernama George La Casse melihat cahaya merah terbang di langit.

Penampakan Bigfoot juga pernah dilaporkan di wilayah ini, terutama di kawasan Hockomock Swamp. Pada tahun 1978, seorang penduduk tempatan, Joseph de Andrade mendakwa pernah melihat fizikal makhluk berbulu yang mirip dengan manusia.

Kesan tapak kaki yang dikatakan adalah Bigfoot di kawasan ini.

Selain Bigfoot, wilayah segitiga Bridgewater juga sering dilaporkan penampakan Thunderbird, makhluk purba berupa burung raksasa zaman prasejarah yang memiliki sayap panjang sehingga 12 meter. Seorang penduduk tempatan bernama Thomas Downy memberitahu pernah melihat burung raksasa itu di kawasan Hockomock Swamp.

Fenomena aneh lainnya adalah ‘Out of Place Animal’ atau haiwan yang semestinya tidak berada di wilayah tersebut. Pada tahun 1939, sekelompok pekerja dari Civilian Conservation Corp dikejutkan dengan penampakan beberapa ekor haiwan yang mempunyai saiz yang amat besar yang luar biasa seperti buaya, kura-kura dan ular.

Pada tahun 1976, seorang penduduk di Abington turut mendakwa melihat anjing gergasi ‘Phantom Dog’ yang sedang memakan dua anjing peliharaan milik penduduk setempat. Kemunculan anjing misteri dengan mata berwarna merah itu menimbulkan kebimbangan masyarakat Abington pada waktu itu.

Phantom Dog, anjing gergasi yang dilihat penduduk.

Di wilayah ini juga terkenal dengan kisah laporan kemunculan pesawat misteri yang digelar ‘Black Helicopter’. Pada Jun 2005, di Reheboth, seorang penduduk tempatan, Mary Lou Jones Drown mendakwa pernah terserempak dengan dua buah helikopter yang cuba mengejarnya. Bagaimanapun katanya, selepas beberapa saat kejadian pelik itu berlaku, kedua-dua pesawat itu beredar meninggalkannya secara tiba-tiba ke arah yang tidak diketahui lokasinya.

Dalam kawasan segitiga Bridgewater turut banyak laporan kes mutasi haiwan yang menimbulkan pelbagai tanda tanya. Ia suatu kejadian misteri yang masih menjadi tanda tanya pengkaji sehingga sekarang.

Wilayah BridgeWater Triangle menjadi salah satu lokasi misteri di Amerika.

Disebabkan itu, wilayah Bridgewater Triangle menjadi salah satu tempat paling misteri di Amerika Syarikat.

Walaupun tempat ini kelihatan menyeramkan, ia merupakan salah sebuah lokasi bersejarah bagi penduduk di negara ini sehingga ramai pelancong dari luar datang berkunjung ke tempat ini, bukan saja untuk mengetahui pelbagai kisah misteri di sini, tetapi juga untuk menikmati keindahan panorama alamnya.

______________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare