Sebahagian daripada orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak pada Program Vaksin Selangor (SelVax) di Padang Awam, Batu Caves, Selangor. GAMBAR: Abd Razak Aid

MALAYSIA semakin menghampiri sasaran vaksinasi 80 peratus yang ditetapkan untuk populasi dewasa lebih awal daripada dijadualkan ketika hampir 18.13 juta atau 77.5 peratus individu dalam kumpulan itu sudah menerima vaksin lengkap, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut data dikeluarkan KKM di laman web Covidnow, sebanyak 238,002 dos vaksin diberikan semalam di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan 75,986 orang menerima suntikan pertama dan 162,016 mendapat suntikan kedua.

Ia menjadikan jumlah dos vaksin diberikan di bawah program ini kepada 39,923,416.

PICK telah dilancarkan pada 24 Februari lepas dengan pengenalan program suntikan vaksin secara besar-besaran untuk penduduk Malaysia diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga menjadi individu pertama menerima vaksin COVID-19 keluaran Pfizer–BioNTech.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan menjangkakan 80 peratus populasi dewasa akan diberi vaksin pada akhir Oktober dan ketika itu COVID-19 akan menjadi endemik.

Namun, menurut unjuran CovidNow dijangka 80 peratus kadar vaksinasi populasi dewasa dapat dicapai dalam masa tiga hari, iaitu 21 September – hampir sebulan lebih awal daripada dijadualkan, sementara kadar vaksinasi 100 peratus bakal dicapai pada 7 November.

Menurut KKM, Lembah Klang, yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, mendahului kadar vaksinasi dengan 105.6 peratus populasi dewasa sudah lengkap divaksinasi.

Peratusannya melebihi 100 peratus kerana statistik populasi dari Jabatan Perangkaan tidak mengambil kira perubahan ukuran penduduk sejak bancian terakhir dan penduduk tiada dokumen.

Sabah mempunyai peratusan orang dewasa yang divaksinasi lengkap terendah iaitu 53.7 peratus.

Bagaimanapun, angka itu menunjukkan peningkatan setiap hari.

Secara keseluruhan, 66.9 peratus populasi, termasuk remaja berusia 12-17 tahun, mempunyai sekurang-kurangnya satu dos dan 55.5 peratus diberi vaksin penuh. – UtusanTV