Muhyiddin Yassin dan Noorainee Abdul Rahman ketika menziarahi Mohd Fazeli Mohd Fodzi.

PENDERITAAN dua penduduk Langkawi di Kampung Paya Kuala Triang Padang Matsirat mendapat perhatian Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri yang berada di pulau legenda itu semalam bagi meninjau pembukaan semula pulau tersebut kepada pelancong sempat bertanya khabar kepada Mohd Fazeli Mohd Fodiz dan Shukri Hasin.

Melalui Facebooknya, Muhyiddin berkata, Mohd Fazeli menghadapi masalah selaput mata sehingga membataskan penglibatannya .

‘’Selain itu dia juga menghidap penyakit kencing manis yang menyebabkan kakinya tidak dapat diselamatkan lagi.Dia yang masih bujang tinggal bersama ibu bapanya. Dia tidak mampu bekerja. Saya memberi kata semangat supaya tidak berputus asa,’’ kata beliau yang ditemani isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Shukri pula kata Muhyiddin  turut mengalami penyakit kencing manis menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong sehingga  paras lutut.

‘’Sebelum ini dia adalah seorang pemandu lori, sekarang Syukri tidak dapat bekerja, pendapatan terjejas. Saya juga turut menyampaikan sedikit bantuan dalam bentuk Bakul Prihatin yang sedikit sebanyak dapat membantu dalam memastikan barang makanan asas ada di rumah,’’ katanya.

Muhyiddin berkata, mendengar masalah kedua-dua itu, ia memberikan keinsafan kepada beliau.

‘’Sesungguhnya kita tidak akan terlepas daripada menghadapi dugaan dan ujian Allah SWT. Semoga setiap dugaan akan menjadikan kita seorang yang lebih tabah, sabar dan bersyukur kerana sesungguhnya ada rahmat dan nikmat di atas setiap yang berlaku hanya jika kita sentiasa beriman kepada-Nya. Moga Allah permudahkan urusan saudara-saudara kita. Insya-Allah, saya akan sentiasa cuba untuk  membantu,’’ katanya.

Beliau juga berkesempatan meninjau beberapa kedai yang telah dibuka terutama di sekitar Pantai Cenang.

‘’Rata-rata peniaga amat optimistik dan amat berharap pembukaan gelembung pelancongan ini dapat mengembalikan keadaan  perniagaan di Langkawi seperti sedia kala sebelum negara dilanda  pandemik Covid-19.

‘’Saya sedar ramai yang terjejas teruk sepanjang PKP dilaksanakan. Rata-rata peniaga sudah kehabisan wang simpanan dan ramai pekerja serta pembantu kedai hilang pendapatan kerana perniagaan tidak beroperasi. ,’’ katanya.

Muhyiddin berkata, dalam pertemuan singkat itu ramai berasa lega apabila kerajaan memberi kebenaran berniaga, sekali gus mengembalikan kestabilan ekonomi peniaga.

‘’Mereka bersyukur kerana dapat menjalankan semula perniagaan selepas lebih lima bulan tidak beroperasi. Bagaimanapun, saya menasihatkan agar mereka  akur dengan syarat dan peraturan ditetapkan termasuk mengamalkan penjarakan sosial di antara pelanggan dan peniaga.

‘’Saya doakan penduduk serta pengunjung ke pulau legenda ini dilindungi, manakala sektor perniagaan kembali rancak dan semua yang terlibat dalam rantaian ini akan mendapat manfaat bersama, insya-Allah,’’ katanya.