Majlis pelancaran Wasiyyah Family Office secara maya, hari ini.

WASIYYAH Family Office Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh Wasiyyah Shoppe Berhad menyasarkan untuk menguruskan sehingga AS$700 juta (RM2.92 bilion) aset pelanggan menjelang tahun 2023.

Pengerusi Wasiyyah Family Office, Ariffin Sabirin berkata, syarikat itu menawarkan perkhidmatan pengurusan dan perancangan harta patuh syariah holistik rentas sempadan kepada pelanggan yang memiliki aset bernilai tinggi.

Pada masa sama, beliau berkata, Wasiyyah Family Office juga disasarkan dapat menyumbang sebanyak 15 peratus kepada pendapatan kumpulan secara keseluruhan.

Kata beliau, keyakinan mencapai sasaran itu timbul memandangkan nilai pasaran perkhidmatan pengurusan harta keluarga dijangka mencecah AS$697 bilion seluruh dunia tahun ini.

“Peringkat permulaan ini sebab kita baharu mula beroperasi, jadi tahun pertama akan dipenuhi dengan pembangunan dan penubuhan.

“Namun begitu, bagi tahun kedua operasi iaitu sehingga tahun 2023, kita menjangkakan Wasiyyah Family Office ini akan memberikan pendapatan sebanyak 15 peratus kepada pendapatan kumpulan.

Baca artikel berkaitan: IBFIM, IIiBF reka i-Kontrak bina pengetahuan syariah

“Kita menjangkakan pendapatan kumpulan adalah sebanyak RM110 juta, jadi Wasiyyah Family Office akan menyumbang RM16.5 juta dengan nilai aset yang akan diuruskan oleh syarikat ini pada ketika itu adalah AS$700 juta,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.

Mengulas mengenai Wasiyyah Family Office, Ariffin berkata, perkhidmatan yang ditawarkan adalah berbeza dengan perkhidmatan pengurusan harta peribadi oleh pelbagai institusi kewangan lain kerana ia merupakan satu-satunya yang menawarkan patuh syariah.

Kata beliau, kebanyakan pemain industri bagi ‘perkhidmatan keluarga’ hanya menumpukan perhatian kepada model konvensional sahaja.

Menurut Ariffin, produk yang ditawarkan kepada pelanggan bernilai tinggi itu juga dibangunkan mengikut keperluan, aset dan jangkaan dari segi pulangan harta.

“Kami merasakan ada banyak ruang dan peluang untuk syarikat ini tembusi lebih-lebih lagi kebanyakan pelanggan bernilai tinggi terutama di Asia Barat menggunakan perkhidmatan pengurusan harta di England.

“Bagi sasaran tahun pertama ini, kami menyasarkan untuk menembusi pasaran di Asia Tenggara kerana negara seperti Indonesia menawarkan pasaran jauh lebih besar dan menarik.

“Selepas itu, kita melihat untuk tembusi pasaran di United Kingdom kerana telah ada permintaan ke sana dan negara-negara di Asia Barat serta Asia Tengah kerana pasaran di situ amat menarik,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram