Sebahagian daripada orang ramai beratur untuk mendapatkan suntikan Vaksin Covid 19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid 19 Mega Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), Shah Alam, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK 14,954 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini – terendah dalam tempoh hampir minggu.

Kali terakhir Malaysia merekodkan kes harian COVID-19 di bawah angka 15,000 ialah pada 26 Julai lalu dengan 14,516 kes.

Menurut data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Sarawak merekodkan kes baharu tertinggi dengan 2,707 kes.

Ini diikuti Selangor sebanyak 2,028 kes.

Hari ini juga menyaksikan lima lagi negeri mencatatkan penularan empat angka.

Negeri tersebut ialah Johor (1,948 kes), Kelantan (1,420 kes), Sabah (1,356 kes), Pulau Pinang (1,259 kes) dan Perak (1,222 kes).

Kedah pula merekodkan penularan di bawah 1,000 kes hari ini dengan 809 kes.

Sebanyak 14,954 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini dengan Labuan catat sifar pertambahan kes hari ini.

Baca artikel berkaitan: Dos ketiga akan mula diberi, keutamaan kumpulan berisiko – PM

Lebih 40 juta dos vaksin COVID-19 diberikan setakat semalam

Sementara itu, Labuan sekali lagi mencatatkan sifar kes baharu manakala Putrajaya (19 kes) dan Perlis (76 kes).

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan 24 Februari lalu berjaya menyuntik lebih 40 juta dos vaksin dengan 78.2 peratus populasi dewasa Malaysia sudah menerima vaksin lengkap.

Jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini berjumlah 2.097 juta kes.

Untuk rekod, Malaysia melaporkan 15,549 kes semalam dengan penurunan konsisten di beberapa negeri khususnya Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Negeri Sembilan hari ini merekodkan 144 kes manakala Melaka (207 kes) dan Kuala Lumpur (383 kes).

Sementara itu, Noor Hisham dalam kenyataan media hariannya memaklumkan janya 1.6 peratus atau 243 kes daripada 14,954 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hingga 12 tengah hari ini adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.

Menurut beliau, baki 14,711 kes atau 98.4 peratus pula adalah daripada kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.

“Daripada jumlah kes baharu itu, 11 adalah kes import melibatkan sembilan warganegara dan dua rakyat asing manakala 14,943 kes lagi adalah penularan dalam negara melibatkan 13,580 warganegara dan 1,363 rakyat asing,” katanya.

Noor Hisham berkata, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 23,469 kes sembuh turut direkodkan.

Pada masa sama, terdapat 1,194 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merangkumi 882 kes disahkan positif COVID-19 dan 312 kes lagi adalah suspected, probable dan kes dalam siasatan.

Daripada jumlah terbabit, 665 kes memerlukan bantuan pernafasan merangkumi 401 kes disahkan COVID-19, sementara 264 kes adalah suspected, probable dan kes dalam siasatan.

Sementara itu, menurut Noor Hisham, sebanyak 19 kluster baharu dikesan dalam tempoh sama dengan 13 daripadanya berkaitan tempat kerja, empat berkaitan penularan dalam komuniti dan masing-masing satu kluster berkaitan pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi. 

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram